Susulan babak mengelap air kencing menggunakan jersi kelab bola sepak Liverpool, penerbit drama Jujurlah Nikahi Aku, Arie Zaharie tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Permohonan maaf tersebut dibuat Arie menerusi posting di laman sosial Twitternya pada awal pagi Sabtu.

"Saya mewakili pihak produksi Arie Zaharie Production dengan rasa rendah diri ingin memohon maaf di atas salah satu babak dalam drama Jujurlah Nikahi Aku yang membabitkan pelakon kami mengoyakkan dan memijak baju jersi kelab Liverpool.

"Saya dengan rasa terkilan atas kesilapan dalam babak itu, sesungguhnya tiada niat untuk memburukkan nama baik kelab Liverpool.

"Saya menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua peminat Liverpool dari seluruh Malaysia dan berharap agar peminat Liverpool berlapang dada untuk memaafkan kesalahan saya,” katanya.

"Dengan rasa hormat dan rendah diri saya kepada peminat kelab Liverpool di seluruh Malaysia, dengan ini saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan di atas pada masa akan datang dan memohon maaf atas keralatan dan kesilapan yang berlaku,” tulisnya.

Terdahulu, tular di media sosial babak pelakon Uyaina Arshad mengelap air kencing menggunakan jersi kelab Liverpool.

Babak tersebut telah mengundang kemarahan dan rasa kurang senang peminat kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Seorang peminat fanatik dikenali sebagai Niezam True Kopites turut membuat laporan di laman web rasmi pasukan Liverpool.

Peminat tersebut juga menuntut pasukan Liga Perdana Inggeris itu mengambil tindakan ke atas produksi drama berkenaan.

Terbaru menerusi kemaskini Niezam, dia mengucapkan terima kasih kepada Arie dan pihak produksi kerana mengakui kesilapan dan tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Terima kasih, setidak tidaknya pihak sana mengakui kesilapan dan tidak akan berulang lagi perkara ini.

“Mungkin bagi sesetengah fan LFC atau fan lain benda ini nampak klise tapi kesan negatif yang ditinggalkan sangat mendalam kerana ia berlaku di skala yang besar.

“Apapun mereka sudah meminta maaf dan kita pula kena berlapang dada dan saling tegur menegur satu sama lain.

“Setiap insan tidak lepas dari buat kesilapan, begitu juga diri saya sendiri juga meminta maaf kerana isu ini menjadi tular dan kecoh. Apa jua yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi. #YNWA,” tulisnya.


Jom tonton semula drama Jujurlah Nikahi Aku menggunakan telefon pintar anda menerusi aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang!