Kerinduan peminat terhadap vokalis asal kumpulan Raihan, Nazrey Johani bagaikan terubat apabila penyanyi itu kembali dengan naskah terbaru Iman Mutiara 2019.

Lagu yang diberi nafas segar itu telah dimuat naik di YouTube rasmi Inteam Digital pada 11 November lalu.

Sehingga kini video berkenaan telah ditonton sebanyak hampir 210,000 kali.

Anda boleh dengar versi terbaru di bawah.

Menerusi ke ruang komen, rata-rata netizen meluahkan rasa rindu terhadap kumpulan Raihan serta nyanyian Nazrey Johani yang pernah menjadi kumpulan Nasyid terbaik Malaysia suatu ketika dahulu.

Tidak kurang juga memuji susunan muzik Iman Mutiara 2019 yang kedengaran sedikit berbeza daripada versi asal.

Pada yang tidak tahu, Iman Mutiara dikeluarkan pada 1996 menerusi album pertama Raihan iaitu Puji-Pujian.

Album Puji-Pujian kemudian muncul sebagai antara album terlaris di Malaysia dengan jualan melebihi 1 juta unit, selain pernah membuat persembahan dan konsert di serata dunia termasuk Royal Albert Hall, London.

Kumpulan itu asalnya dianggotai Nazrey, Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim, Amran Ibrahim dan Allahyarham Azhari Ahmad.

Bagaimanapun, Nazrey mengundur diri daripada Raihan pada 2006.