"Lelaki Rasa Tak Macho Kalau Mendandan Rambut Sebelah Perempuan" - Fikry Ibrahim Buka Kedai Gunting Rambut

Amri Hassan
Ogos 8, 2019 03:56 MYT
Pelakon Fikry Ibrahim mengambil inisiatif untuk membuka sebuah kedai gunting rambut pertamanya di Setapak, Kuala Lumpur bagi menyediakan solusi untuk masalah yang dihadapinya sendiri setiap hari.
Kata Fikry, 25, dia berdepan kekangan untuk mencari servis dandanan rambut lelaki sekitar ibukota yang menyediakan pelbagai servis selain menggunting rambut semata-mata.
"Saya tak pernah terfikir pun untuk buat kedai gunting rambut tapi tercetus sejak setahun lalu.
"Sebagai lelaki berkerjaya yang sering menggunakan pelbagai produk untuk penggayaan rambut, saya sendiri berdepan masalah untuk mencari salun.
"Kadang-kadang segan apabila pendandan dan tukang gunting rambut saya perempuan, ada masanya perempuan ada sebelah saya. Apabila nak buat rawatan rambut pun rasa malu, sebagai lelaki rasa tak macho.
"Saya tengok pun ramai perempuan, tak ramai lelaki," ujarnya yang mendapatkan khidmat bimbingan daripada Bambang Soteto sejak enam bulan lalu.
HairFeeks yang telah memulakan operasi sejak awal Ogos lalu menyediakan pelbagai servis antaranya scrub wajah, scrub rambut, rawatan keguguran rambut, masker dan pelbagai lagi.
Selain itu, Fikry menyediakan pelbagai pakej khas untuk bakal pengantin dan kanak-kanak.
Malah, harga yang ditawarkan di Hairfeeks juga lumayan dan berpatutan dengan harga pasaran semasa.
"Di Setapak kami antara barbershop yang paling awal memulakan operasi.
"Malah, caj yang ditawarkan kepada pelanggan juga berpatutan bermula serendah RM20 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak.
"Kebanyakan servis pun diturunkan harga menepati permintaan di sini. Bagi saya biarlah servis yang ditawarkan menepati permintaan masyarakat," ujarnya.
Sebelum ini, Fikry pernah mengusahakan sebuah kedai dobi sejak 2015 namun terpaksa dihentikan operasi setahun kemudian kerana masalah tertentu.
#pelakon #Pelakon #Fikry Ibrahim #Barbershop