Hiburan
"Lepas Sujud Tak Boleh Bangun" - Tulang Rawan Koyak, Tempurung Lutut Fazley Yaakob Cedera
Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob kini terpaksa bertongkat ekoran kecederaan pada bahagian lutut selepas melakukan aktiviti mendaki bukit minggu lalu.
Jelas Fazley, tempurung lututnya mengalami keretakan dan tulang rawan pada bahagian terbabit koyak.
"Saya tak sedar selepas empat jam hiking, apabila balik solat saya tak boleh bangun semasa sujud. Ketika itu rasa macam ada yang tak kena.
"Tetapi keesokannya saya masih berjogging sejauh 10 kilometer selama lima hari berturut-turut tanpa masalah.
"Pada hari keenam lutut saya bengkak dan isteri menyuruh saya ke hospital untuk membuat pemeriksaan.
"Ketika itu barulah saya tahu tulang rawan koyak dan depan tempurung lutut saya retak sedikit. Bermakna saya cedera tanpa saya tahu," katanya kepada Gempak.
Tambah pelantun lagu Cerita Asmara itu lagi, kecederaan terbabit normal bagi individu yang aktif bersukan dan mendaki.
"Pada rawatan pertama, doktor menyedut keluar darah pada bahagian yang cedera itu dan menggantikannya dengan gel untuk surutkan bengkak.
"Kemudiannya, saya perlu menjalani terapi sebanyak tiga kali seminggu selain rawatan inframerah dan urutan.
"Kata doktor saya tak perlu risau dan harap tiada pembedahan," kata Fazley lagi.
Fazley yang ditemui pada majlis pelancaran kempen Your Berry Best Friend bagi mempromosikan buah beri biru US Highbush Blueberry di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Pada majlis berkenaan juga, Fazley hadir bersama tongkat dan ditemani beberapa pembantu.
"Berjalan tiada masalah cuma sedikit sukar untuk naik turun tangga.
"Doktor menasihati saya untuk tidak berjogging atau bermain badminton sekurang-kurangnya tiga minggu.
"Jadi, rasa 'patah kaki' jugalah," ujarnya.
Must-Watch Video