Meskipun mempunyai masalah keresahan (anxiety), ia tidak menjadi penghalang buat Lesley Cheam untuk memberikan yang terbaik di pertandingan ratu cantik Miss Universe 2022 yang dijadualkan berlangsung pada Januari depan.

Jelas Lesley, dirinya akan cuba mengawal sebaik mungkin masalah tersebut agar tidak memberi kesan terhadapnya sewaktu berjalan di pentas pertandingan berprestij yang bakal disaksikan oleh seluruh warga dunia itu.

“Benar saya memang ada masalah anxiety, namun itu bukanlah penghalang untuk saya buat yang terbaik pada acara tersebut. Saya akan kawal masalah itu.

“Untuk atasi masalah anxiety itu, saya telah membuat banyak latihan seperti berjalan, bercakap, dekatkan diri dengan orang ramai dan banyak lagi. Dengan berbuat demikian, saya rasa lebih tenang dan selesa,

“Segala persediaan pun telah saya buat dengan rapi kerana saya tahu pergi ke sana adalah dengan membawa nama Malaysia, jadi saya harus disiplin dan yakin pada diri. Semoga segalanya yang baik-baik sahaja nanti,” katanya kepada Gempak.

Lesley berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan kostum kebangsaan dan gaun petang Miss Universe Malaysia 2022 yang diadakan di MyEg Tower, Damansara pada Rabu.

Ditanya mengenai perasaan menyarung dua busana hebat rekaaan pereka ternama Hatta Dolmat, Lesley akui gementar namun dalam masa sama teruja.

“Sudah pasti saya sangat gembira, teruja dan dalam masa sama gementar untuk mewakili Malaysia dan menyarungkan busana daripada Hatta.

“Saya memuji rekaan dia, sangat cantik. Saya suka warna yang digunakan untuk kedua-dua busana ini. I love it so much!

“Untuk kostum kebangsaan ia adalah pakaian yang sangat unik dan lain daripada yang pernah saya pakai sebelum ini,” tambahnya

Terdahulu Lesley telah dinonatkan sebagai juara Miss Universe Malaysia 2022 pada Oktober lalu.

Pada acara tersebut, Lesley telah menewaskan 12 calon juara lain untuk merebut gelaran ratu cantik tersebut.

BACA: Lesley Cheam Dinobat Miss Universe Malaysia 2022, Kalahkan Arjune Kaur!

Untuk info, pertandingan ratu cantik Miss Universe 2022 bakal berlangsung di Ernest N. Morial Convention Center, New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat pada 14 Januari 2023.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.
Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!