Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Lihat Fatima Kesian, Dia Seorang Diri” - Nur Fazura Tak Tolak Rezeki Jika Dikurniakan Anak Kedua

Mya Amri
05/07/2023 00:41 MYT
Pelakon dan usahawan, Nur Fazura tidak menolak sekiranya diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata kedua.

Kembali berdepan dengan kekangan kerja dan bakal membuat comeback tidak lama lagi, Fazura juga turut memohon orang ramai mendoakan keluarga kecilnya.

“Sebenarnya soalan tentang zuriat ini agak peribadi buat saya. Rezeki Allah itu sudah tentu saya tidak akan tolak, saya memang sudah bersedia untuk menimang cahaya mata kedua.

“Tambah pula sekarang saya sedang menjalani penggambaran filem yang tidak boleh saya cerita dengan lebih lanjut… Insya-Allah bulan Ogos ini saya akan buat comeback dengan drama siri.

“Ada rezeki Insya-Allah kami terima. Tambah pula dengan kekangan kesibukan kerja sekarang, saya hanya teruskan kehidupan seperti biasa… Kalau ada rezeki Insya Allah,” katanya.

Fazura berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran program televisyen Innovathon yang diadakan di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pada itu, Fazura berkongsi dia juga turut berasa kasihan melihat anak sulungnya, Nur Fatima Aisya yang menginginkan seorang kawan.

“Saya lihat Fatima pun kasihan dia seorang diri sekarang. Dia kalau dekat rumah ada sahaja cakap nak pergi rumah sepupu sebab nak berkawan.

“Saya dan Fattah memang bersedia pada bila-bila masa untuk menimang anak kedua.

“Doakan kami tapi kalau nak cakap kami merancang atau tidak, saya tidak boleh beri komen… Insya Allah kalau ada rezeki, kami tidak tolak,” jelasnya.

Mengulas mengenai sama ada ingin berkongsi berita kehamilan keduanya, Fazura berkata dia akan mengambil pendekatan yang sama seperti mana kandungan pertamanya tiga tahun lalu.

BACA: Kehidupan Semakin Tenang, Fazura Rancang Buka ‘Kilang’ Untuk Anak Kedua - “Kalau Boleh, Saya Nak Bersalin…”

Malah tambah isteri kepada pelakon, Fattah Amin ini juga, dia sedia berkongsi wajah anak apabila sampai pada waktu yang sesuai sebagai menghargai peminat yang telah mendoakan mereka.

“Macam semua orang tahu, masa Fatima dulu saya hanya berkongsi wajah anak selepas tiga atau empat bulan selepas bersalin.

“Jadi, mungkin kalau anak kedua nanti saya tetap akan melakukan perkara yang sama. Tidaklah sampai tunggu masa yang lama sangat untuk berkongsi.

“Saya mahu berkongsi dengan orang ramai yang sudah mendoakan kami. Bila orang doakan kita, kita kena menghargai dan berterima kasih,” ujarnya.

Untuk rekod, Fazura mendirikan rumah tangga dengan Fattah pada 27 November 2017 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia tiga tahun.

Dalam perkembangan lain, Fazura bakal muncul sebagai juri dalam sebuah program realiti berteraskan sains, teknologi dan inovasi iaitu Innovathon.

Program ini akan ditayangkan setiap hari Sabtu bermula 15 Julai 2021, pukul 9 malam di Astro Ria (Saluran Ria).

Manakala program ini akan bersiaran menerusi saluran-saluran vernakular yang lain termasuk Astro Showcase, Astro Vinmeen dan Astro AEC dua minggu sejurus sahaja tayangan perdana di Astro Ria.

#Anak #Fazura #Cahaya Mata #Nur Fazura #Nur Fatima Aisya #Fatima
;