Rapper dan penulis lirik muda, Rvijay Raj atau lebih dikenali sebagai Lil J, bergabung dengan dua lagi rapper berbakat, Alan D dan Loca B menerusi lagu terbaru mereka berjudul Laut.

Diterbitkan oleh Mingaling dan Donato Beat, Laut mempunyai maksud yang berbeza buat ketiga-tiga rapper ini.

“Lautan yang terbentang luas meliputi separuh daripada dunia yang kita diami, banyak lagi perairan yang masih belum diterokai, begitu juga dengan kehidupan, masih banyak yang perlu kita tempuh,” jelas Lil J.

Menurut Alan D pula, dia menerima pelawaan daripada Lil J sendiri untuk bekerjasama menghasilkan lagu tersebut.

“Lil J menyapa saya dan Loca B jika kami ingin bekerjasama, kami pun menerima pelawaan tersebut dengan hati terbuka.

"Kami bertiga masing-masing mempunyai mesej tersendiri yang ingin disampaikan menerusi lagu ini," ujarnya.

Sementara itu, Loca B juga mempunyai tafsiran sendiri terhadap mesej yang terkandung dalam lagu berkenaan.

“Air laut ada pasang surutnya, begitu juga kehidupan, ketika masalah datang melanda kita harus tempuhinya dengan tenang dan terus pandang ke hadapan tanpa menoleh ke belakang.

"Dalam Laut, saya luahkan isi hati yang paling dalam dengan maksud yang tersirat agar pendengar dapat menyelami perasaan kami masing-masing,” tambahnya.



Laut boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Video lirik dan muzik lagu Laut juga boleh ditonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.