Laman Utama
Lima Hari Tayangan, Rahsia Raih Kutipan RM 2.2 Juta! Terbaiklah!
Selepas lima hari tayangan, filem reboot Rahsia berjaya mengaut kutipan RM2.2 juta.
Berita itu dimaklumkan menerusi akaun Instagram rasmi Astro Shaw hari ini.
“Alhamdulillah filem seram Rahsia berjaya mendapat kutipan sebanyak RM2.2 juta dalam masa lima hari tayangan.
“Terima kasih kepada semua. Jom ramai-ramai kita serbu panggung untuk membongkar Rahsia,” maklum hantaran berkenaan.
Dengan kutipan tersebut, ini membuktikan filem tempatan masih mendapat sokongan daripada peminat yang menginginkan filem berkualiti.
Sebelum ini, filem terbitan Astro Shaw dan Five Star Trading mendapat pujian pengarah Aziz M Osman.
Selain Aziz, Rahsia juga sebelum ini mendapat pujian daripada personaliti media sosial antaranya Imran Bard dan Azfar Heri.
Imran menyifatkan jalan cerita Rahsia sebagai berbeza berbanding filem seram Malaysia yang lain.
Rahsia mendapat sentuhan pengarah berbakat, Shamyl Othman iaitu anak kepada sutradara asal naskhah Rahsia 1987, Othman Hafsham.
Manakala skrip pula dihasilkan oleh creator drama premium Astro, One Cent Thief iaitu Alfie Palermo.
Seperti versi asal Rahsia yang membariskan pelakon terkenal negara, versi reboot turut menampilkan wajah-wajah popular.
Watak Ramlah yang dijayakan oleh Noor Kumalasari, kini dilakonkan oleh Nabila Huda. Manakala, watak Hamdan oleh Shukery Hashim digerakkan oleh Fikry Ibrahim.
Barisan pelakon lain termasuk Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, Mislina Mustaffa, Aloy Paradoks serta Nabil Zakaria di samping penampilan istimewa Othman Hafsham dan Susan Lankester.
Rahsia membawa tagline Dia Takkan Pergi manakala lagu berjudul Alunan Lara adalah lagu tema rasmi Rahsia yang dinyanyikan oleh Njwa.
SINOPSIS:
Rahsia membongkar sejarah silam sebuah keluarga. Ramlah pulang bercuti ke rumah ayahnya, Tan Sri Karim bersama suami, Hamdan dan anak-anak, Marina dan Saiful.
Keadaan menjadi keruh apabila Saiful tiba-tiba lesap sewaktu mereka berkelah di tepi pantai.
Pihak polis yakin Saiful hilang di persisiran pantai, namun Ramlah berkeras bahawa anaknya disembunyikan kuasa mistik.
Sementara Hamdan menyertai pihak polis dalam operasi pencarian, Ramlah diganggu oleh kelibat wanita yang menggerunkan.
Walaupun tiada bukti kukuh, Ramlah bertekad untuk berdepan dengan puaka tersebut sekali gus merungkai rahsia di sebalik kehilangan anaknya itu.
Must-Watch Video