Penyanyi Zynakal mencuri perhatian wargamaya apabila mengeluarkan single terbaru berjudul Sakit.

Menerusi laman sosial Twitter, seorang pengguna @yourscutiepie telah berkongsi sepotong video muzik lirik lagu tersebut.

“Lagu Zynakal yang ini aku rasa bermakna gila. Aku suka pun sebab lirik dia. Lirik dia betul terangkan macam mana aku hadap depresi tahun 2019 ni,” tulisnya bersama video berdurasi 35 saat tersebut.Apa yang meraih perhatian wargamaya adalah bait-bait lirik yang dikatakan berkisar tentang kontroversi yang menimpa dirinya tidak lama dulu.

Difahamkan lagu Sakit ini sudah empat hari dimuat naik di laman YouTube rasminya dah sehingga kini telah menerima hampir 900,000 tontonan.

Malah, Zynakal turut mengambil kesempatan memohon maaf kepada semua pihak menerusi ruangan kapsyen laman YouTubenya.

“Saya harap anda faham apa yang saya nak sampaikan dan maafkan saya atas kesilapan yang lama,” tulisnya.



Terdahulu, Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Razqi Rosli ditahan polis selepas bertindak mencekik seorang pekerja sebuah stesen minyak di Ampang, Kuala Lumpur.

Atas kesalahan itu, dia diperintahkan untuk membayar hukuman denda sebanyak RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ampang.

Malah, penyanyi yang terkenal dengan lagu Terbang itu telah ditahan di wad psikiatri, Hospital Kuala Lumpur selepas disahkan menghidap Bipolar Mania, sejenis masalah gangguan mental.