Bukan sahaja Fauzi Nawawi saja pernah mengalami kecederaan ketika menjalani penggambaran, isteri kepada aktor itu iaitu Lisdawati juga mempunyai pengalaman yang lebih kurang sama.

Bagaimanapun, Lisdawati memberitahu dia pernah jatuh ketika menunggang kuda sewaktu penggambaran sehingga menyebabkan terseliuh dan sukar untuk angkat badannya.

"Dalam penggambaran memang akan berlaku perkara yang tidak sangka. Saya pun pernah jatuh kuda sewaktu shooting. Nak angkat badan pun tak boleh dah terseliuh.

“Bila cakap dengan penerbit, mereka kata tak ada bajet untuk itu. Daripada itu saya belajar satu perkara, kalau bukan kita sendiri yang jaga diri kita, takkan ada siapa yang nak jaga kita," katanya kepada Gempak.

Lisdawati berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran Kafe Boi Boi yang terletak di Jalan Imbi, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Bagaimanapun Lisdawati berkata dia tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya menasihatkan agar pelakon di Malaysia untuk membuat persediaan sendiri.

"Kita dah cuba berhati-hati, kita cuba untuk mengelak daripada sebarang kecederaan berlaku sewaktu penggambaran.

"Tetapi kalau memang sudah ditakdirkan nak berlaku kemalangan, mungkin ada hikmahnya. Perkara ini tidak akan habis kalau kita saling menyalahkan.

"Jadi, saya nasihatkan kepada semua pelakon buatlah caruman Socso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Tak mahal pun setahun dalam RM300 lebih. Ini nasihat saya terutamanya kepada pelakon baharu. Perkara-perkara ini yang akan bantu kita pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, Fauzi Nawawi mendedahkan dia pernah mengalami kecederaan di kepala sehingga menerima dua jahitan ketika menjalani penggambaran filem Anak Halal.

Menurut Fauzi, kecederaan itu juga memberi pengajaran untuk dia lebih berhati-hati kerana melakonkan babak aksi.