Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

#ListenToAided: Gugurnya Sebutir Bintang, Jom Imbas Kembali Lima Lagu Yang Pernah Ditampilkan Dalam Filem Mamat Khalid

Asraf Aided 28/10/2021 | 13:10 MYT
Industri hiburan berselubung duka dengan berita yang sangat mengejutkan, pemergian pengarah kesayangan ramai, Allahyarham Mamat Khalid pada Ahad lalu.
Seorang demi seorang pelaku seni yang pergi ke negeri abadi, industri perfileman tanah air sememangnya kehilangan satu sinaran bintang yang sukar dicari ganti.
BACA: Mamat Khalid Meninggal Dunia
Allahyarham sememangnya seorang yang berseni tinggi, kadang-kadang tersurat dan kerap juga disampaikan secara tersirat. Karya-karya terkenal beliau seperti Man Laksa, Hantu Kak Limah dan banyak lagi akan terus tersemat dalam memori kita semua.
Justeru, #ListenToAided hari ini ingin mengimbas lima lagu yang pernah diselitkan oleh Allahyarham dalam filem-filem beliau.
Soley, Soley - Middle Of The Road (Filem Hantu Kak Limah)
Lagu ini sememangnya diketahui oleh mereka yang menonton filem Hantu Kak Limah. Kalau Allahyarham tak meletakkan lagu ini dalam filem tersebut, adakah ramai yang tahu?
Soley Soley dinyanyikan oleh kumpulan Middle Of The Road merupakan hasil tulisan M. Jourdan dan F. Arbex dan dilancarkan pada tahun 1972.
Harapan Kecewa - A Ramlie (Kampong Pisang Bersiri-Siri)
Lagu ini diketahui oleh ramai generasi ibu bapa kita. Harapan Kecewa diselitkan oleh Mamat dalam siri Kampong Pisang Bersiri-Siri. Usaha pengarah sebegini harus dipuji, beliau bukan sahaja menghasilkan penceritaan yang bagus, malah terus mengangkat martabat muzik dan penyanyi lama di negara kita.
Harapan Kecewa dinyanyikan oleh A Ramlie dan dimuatkan dalam album beliau yang berjudul Memori Indah pada tahun 1996.
Srikandi Cintaku Versi Awie & Mus May (Hantu Kak Limah)
Lagu asal sifu muzik Datuk M Nasir ini dinyanyikan dalam versi Datuk Awie dan Mus May sebagai runut bunyi filem Hantu Kak Limah.
Nyanyian Awie dan Mus sememangnya hebat dan bukan calang-calang! Tapi pada masa sama, saya yakin ramai yang terhibur menonton muzik video nyanyian mereka itu!
Lamunan Terhenti Versi Awie & Ezlynn (Hantu Kak Limah 2)
Lagu nyanyian asal Aris Ariwatan ini dipersembahkan dalam filem Hantu Kak Limah 2 dan Jin Pakai Toncit dalam versi nyanyian Ezlynn dan Datuk Awie.
Gabungan mereka kelihatan serasi dan klip video nyanyian mereka tidak kelihatan janggal. Malah cara nyanyian juga kena dengan gaya penceritaan filem tersebut!
Apa yang ketara, Allahyarham sememangnya tidak pernah kering idea dalam menghasilkan karya. Saya bersetuju dengan kata-kata Puan Sri Tiara Jacquelina yang menyifatkan Allahyarham Mamat Khalid sebagai P. Ramlee di masa kini.
Hati Ku Luka Lagi (Hantu Kak Limah)
Babak ini tentunya salah satu yang digemari oleh penonton Hantu Kak Limah!
Hati Ku Luka Lagi nyanyian Black Dog Bone ditampilkan dalam filem ini. Gaya lakonan bersahaja Zul Ariffin dan yang lainnya berjaya menghiburkan penonton tanpa terlalu mencuba.
Hatiku Luka Lagi yang ditulis Haron Abdul Majid dimuatkan dalam album Black Dog Bone berjudul Bagai Kelkatu pada tahun 2003.
Semestinya banyak lagi lagu-lagu lain yang ditampilkan dalam karya-karya hebat Mamat Khalid. Antara yang terbaru juga adalah lagu Bossanova nyanyian Wann yang diperdengarkan dalam filem Manap Karaoke pada tahun lalu.
Akhir kata, pemergian Allahyarham Mamat sememangnya meninggalkan kekosongan yang tiada ganti dalam industri seni tempatan.
Al-Fatihah...
***Dapatkan berita terkini, cepat dan mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klik banner di bawah untuk mengundi.
#mamat khalid #Listen To Aided #Filem Mamat Khalid #Lagu Dalam Filem
;