Laman Utama

#ListenToAided: Lima Iklan Raya 2021 Yang Menarik & Menyentuh Hati

gempak
Asraf Aided
10/05/2021
13:38 MYT
Sponsor Banner
#ListenToAided: Lima Iklan Raya 2021 Yang Menarik & Menyentuh Hati
Aidilfitri bakal menjelang dalam beberapa hari sahaja lagi. Minggu lalu, #ListenToAided menyenaraikan beberapa lagu Raya evergreen, minggu ini agak berbeza.
Hari ini mari kita hayati lima iklan Raya baru dan lama, yang menarik dan tidak mengetepikan mesej-mesej berguna untuk masyarakat.
Singkap Sebalik Tingkap - Astro
Video iklan raya ini menarik dalam pelbagai aspek, dari jalan penceritaan, nilai murni, hinggalah sinematografi!
Ia memaparkan kisah hubungan generasi muda yang berbakti kepada golongan yang lebih tua ketika menyambut lebaran. Semua sedia maklum, Hari Raya adalah hari kemenangan yang harus diraikan, jadi, jika berpeluang, bantulah mereka yang kurang bernasib baik.
Jumlah tontonan Singkap Sebalik Tingkap di YouTube telah mencecah 1.5 juta selepas seminggu ditayangkan.
Syukur Raya - Petronas
Iklan Raya 2021 dari Petronas ini juga tak kurang hebatnya. Secara peribadi, saya amat amat menyukai jalan ceritanya meskipun hanya memaparkan watak-watak kartun.
Ia mengisahkan kehidupan berjiran yang turut ada baik buruknya, tak ubah seperti sebuah institusi keluarga.
Selain itu, iklan Raya ini juga tidak mengetepikan babak yang memaparkan situasi semasa di mana orang ramai harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika keluar rumah. Dapat dilihat, jiran-jiran kepada watak Mak Jah keluar rumah dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.
Jumlah tontonan iklan ini di YouTube telah mencecah 1.5 juta selepas tiga hari ditayangkan.
Raya Si Sakan - Maxis
Iklan Raya ini mengisahkan suami isteri menyambut lebaran bersama. Biasalah, kalau nak Raya, pastinya si isteri sibuk membuat pelbagai persiapan menghias rumah, buat kuih raya dan sebagainya.
Dalam iklan ini, pada mulanya si isteri berasa sedikit curiga akan suaminya yang suka beli kuih raya dari seorang janda anak satu. Tetapi selepas suaminya menjelaskan niat sebenar, barulah si isteri faham yang suaminya itu hanya mahu membantu peniaga kecil tempatan.
Alangkah indahnya jika kita dapat berkongsi rezeki dan saling membantu ketika menyambut Raya, inilah mesej utama yang diterapkan dalam iklan ini.
Mula ditayangkan dua minggu lalu di YouTube, Raya Si Sakan telah mendapat lebih dua juta tontonan.
Pulanglah Nak... - MYDIN
Iklan Raya ini pula memaparkan kisah sebuah keluarga yang dijangkiti wabak COVID-19. Apa yang boleh saya katakan, iklan ini membuktikan bukan semua sangkaan negatif atau kerisauan kita akan mendatangkan masalah.
Lakonan hebat pelakon air mata, Wan Maimunah sememangnya memberi kesan yang lebih menyedihkan dalam iklan ini. Pada mulanya dia khuatir jika jiran-jiran risau dan takut mendekati mereka kerana terlibat kes COVID-19, namun sesuatu yang melegakan menanti di penghujung iklan ini!
Walau jarak memisah ramai antara kita di lebaran ini, ingatlah, kasih sayang yang terjalin bersama keluarga akan terus kuat jika kita tahu menjaganya.
Iklan Raya ini mendapat tontonan sebanyak 142,000 selepas empat hari ditayangkan di YouTube.
Mangkuk Tingkat Mak Teh - Saji
Saya menitiskan air mata menonton iklan ini! Kebetulan saya memang meminati lakonan pelakon senior berbakat, Fatimah Abu Bakar.
Daripada iklan ini, kita dapat memahami kadang-kadang bukan senang untuk kita menerima realiti yang menyakitkan dalam kehidupan.
Ada yang memilih untuk berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku, ada juga yang seolah-olah melawan kebenaran dari tingkah laku, tapi itu semua dari pandangan luaran, dalam hati, hanya Allah SWT dan yang menanggung sahaja yang tahu.
Iklan ini mengisahkan isteri yang kehilangan suami selama lima tahun namun cuba berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku dan meneruskan rutin seperti suaminya masih hidup kerana tak dapat menahan rindu.
Mangkuk Tingkat Mak Teh mendapat tontonan sebanyak 999 ribu selepas enam hari ditayangkan.
Demikianlah lima iklan Raya 2021 yang menarik untuk dihayati bersama.
Semoga mesej-mesej yang disampaikan mampu membuka mata dan memberi kesedaran kepada kita semua.
Salam Aidilfitri dari saya, Asraf Aided.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live