Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Lufya Buat Laporan Polis, Nafi Dipukul Bekas Suami - "Jangan Babitkan Dia, Biar Polis Buat Kerja"

Amri Hassan
29/06/2022 07:20 MYT
Pelakon dan penyanyi, Lufya Omar memaklumkan sudah membuat laporan polis pada pagi Rabu selepas insiden dipukul dengan kayu dalam cubaan menculik anak perempuannya, Laana Haura pada Ahad lalu.

Kata Lufya, laporan polis itu dibuat di Balai Polis Kota Damansara sekitar kira-kira jam 6 pagi.

"Tak ada istilah saya cuba membuat drama atau mengada-adakan cerita kerana melengahkan urusan membuat laporan polis. Ini soal nyawa yang bukan boleh diperjudikan.

"Jujur saya dan anak masih dalam keadaan trauma. Malah pada masa sama, saya juga dalam rawatan di hospital. Jadi saya ambil masa bertenang untuk bawa hal ini kepada pihak polis.

"Selepas rawatan di hospital pagi tadi, saya dan anak ke balai polis. Kebetulan waktu itu tiada ramai orang, jadi kurang sedikit rasa trauma itu. Setakat ini saya serahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan," katanya yang masih trauma.

Malah Lufya atau nama sebenarnya, Lutfyah Sheikh Omar turut menafikan lelaki yang memukulnya itu ada bekas suami, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum.

"Lelaki itu orang asing yang saya sendiri tak kenal. Dan bukan bekas suami saya seperti yang ditebak netizen.

"Ada yang anggap keterangan gambar saya mendedahkan insiden ini di Instagram (IG) bertulis lelaki dayus merujuk kepadanya itu tidak benar sama sekali.

"Bagi saya mana-mana lelaki yang memukul wanita adalah seorang dayus. Kita belum tahu siapa pelakunya. Cuma jangan babitkan dia (Hafiz), biar polis buat kerja mereka," katanya.

Lufya pada Selasa berkongsi foto-foto keadaanya yang calar-balar dipercayai kesan bergelut dengan seorang lelaki tidak dikenali pada Ahad lalu.

Lelaki berbadan besar itu memukul bahagian kepala dan badan Lufya dengan kayu dalam cubaan menculik anaknya, Laana Haura, 5, di sebuah taman permainan di Kota Damansara.

#pelakon #Lufya Omar #Viral #Anak #Culik #Pukul #Laana Haura #Che Hafiz #Kota Damansara
;