Filem Sumpahan Syaitan yang bakal ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia pada 2 Mac depan lulus tayangan tanpa sebarang potongan dan mendapat klasifikasi PG13 oleh Lembaga Penapis Filem (LPF).



Pengarah Sumpahan Syaitan, Roy berkata, dia sudah menjalankan kajian dengan bertemu pihak kementerian dan Lembaga Penapis Filem (LPF) sebelum memulakan penggambaran bagi mendapatkan nasihat.

“Sebelum mula penggambaran saya sudah bertemu pihak kementerian dan agensi terlibat bagi memastikan filem ini lulus tanpa sebarang potongan. Saya mahu memastikan tiada adegan yang dipotong supaya cerita tidak tergantung.

"Malah, saya mahu penonton memahami jalan cerita serta nilai yang ada dalam Sumpahan Syaitan. Itu mungkin sukar jika terlalu banyak adegan yang dipotong,” ujarnya.

Sinopsis Sumpahan Syaitan

Sumpahan Syaitan mengisahkan Sam lakonan Farid Kamil terpaksa melarikan diri selepas dirinya diperdaya skim pelaburan cepat kaya atau multilevel marketing.

Nasib Sam bertambah malang apabila berdepan pelbagai kejadian misteri dan seram ketika menyembunyikan diri di sebuah hotel milik sahabat baiknya, Malik (lakonan Datuk AC Mizal).

Filem terbitan D-Bay Filem Factory dan Red Firess Film Production itu menampilkan pelakon-pelakon hebat antaranya Farid Kamil, Datuk Jalaludin Hassan, Nynaa Harizal, Datuk AC Mizal dan ramai lagi.

Gabung pelawak legenda

Kata Roy Lagi, Sumpahan Syaitan juga berjaya menggabungkan sebahagian ahli kumpulan pelawak legenda Senario antaranya Azlee, Saiful Apek dan Yasin.

“Sumpahan Syaitan adalah sebuah filem seram-komedi yang menggabungkan pelbagai adegan misteri tetapi dalam pada sama menghiburkan dan memberi pengajaran.

“Memang pada awalnya saya mahu mengarah filem itu supaya mempunyai nilai komersialnya sendiri. Seram tetapi meriah.

“Saya harap filem ini mendapat sambutan. Lagipun sekarang trend penonton tempatan memberi sokongan kepada filem lokal,” katanya.