Hiburan

Lupakan Kisah Lalu, Aweera Akui Rindu Bersama Mojo

gempak
Mya Amri
24/01/2017
08:33 MYT
Sponsor Banner
Lupakan Kisah Lalu, Aweera Akui Rindu Bersama Mojo
Penyanyi Aweera akui sudah melupakan perselisihan faham yang berlaku antara dirinya bersama kumpulan Mojo pada tahun 2014.
Menurut Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Norhissham, dia berasa gembira kerana diberi peluang untuk beraksi bersama Mojo di sidang media program realiti terbaru Astro, Rockanova semalam.
“Perselisihan faham yang berlaku sebelum ini lebih baik dilupakan dan saya rasa gembira apabila diberi peluang untuk beraksi kembali bersama Mojo walaupun sekadar untuk penampilan khas saja.
"Lagipun ini sudah masuk tahun baru dan perkara yang tidak baik eloklah kita biarkan berlalu dan lebih baik sekiranya kita buka buku baru.
“Bila difikirkan kembali, industri ini kecil saja dan tidak mustahil kami akan berjumpa semula dan saya anggap hari ini merupakan satu sejarah bagi saya.
“Dan saya pun berterima kasih kepada Mojo kerana orang kenal saya melalui kumpulan tersebut dan saya hargai perkara itu. Terus terang saya katakan sebenarnya saya rindukan Mojo,” katanya ketika ditemui pada sidang media Rockanova bertempat di Hard Rock Café, Kuala Lumpur semalam.
Dalam pada itu Aweera memberitahu dia tidak akan menolak sekiranya diberi tawaran untuk melakukan persembahan bersama kumpulan tersebut.
“Saya kini bergerak secara solo dan Mojo pun sudah mempunyai vokalis mereka sendiri iaitu Ryan.
“Saya hormati mereka, tetapi andai kata ada tawaran untuk melakukan projek istimewa bersama Mojo, tak salah rasanya kalau saya terima,” katanya.
Dalam perkembangan terbaru, Aweera bakal muncul dengan single berjudul Wanita Cinta Agung.
Terdahulu, kontroversi antara Aweera dan Mojo berlaku selepas penyanyi itu disingkirkan daripada melakukan persembahan di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-29.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live