M N46IR Cipta Raya Bakal Menggamit Memori Nostalgia Peminat
“Lagu-lagu ini dipilih kerana membangkitkan rasa nostalgia dan sering menjadi popular ketika musim perayaan.
“Pemilihan tiga lagu ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada komposer legenda, iaitu P. Ramlee, Oslan Hussin dan Ahmad Jaafar,” katanya kepada Gempak.
Datuk M. Nasir berkata demikian ketika ditemui semasa sesi latihan konsert yang berlangsung di My Studio, Sungai Buloh pada Khamis lalu.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuklah Selamat Hari Raya nyanyian asal Allahyarhamah Puan Sri Saloma, yang cukup sinonim dengan suasana Aidilfitri.
“Saya teringat zaman kecil saya. Walaupun banyak lagu raya yang ada, tapi lagu ini mewakili kesyahduan. Lagu Saloma riang dan ceria.
“Saya buat dalam bentuk muzik kontemporari. Itulah penghargaan saya untuk tiga lagu tersebut,” jelasnya.
Bagaimanapun, Datuk M. Nasir turut mendedahkan hasrat untuk merakamkan semula lagu-lagu raya ikonik tersebut dengan sentuhan tersendiri termasuk secara rakaman langsung di studio.
“Memang ada idea untuk rakam secara live, kemudian touch up dalam studio. Saya juga ada rancang nak rakam balik lagu-lagu raya ciptaan saya sendiri. Insya-Allah, satu hari nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada penonton konsert kali ini bakal menerima duit raya seperti yang dilakukan dalam Konsert Cipta 2 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Oktober lalu, Datuk M. Nasir menyerahkan perkara tersebut kepada pihak penganjur, Iman Tang.
"Terserah kepada dia. Saya hanya menyanyi untuk konsert ini," ujarnya.