Pelakon Lia Natalia memaklumkan bahawa keadaan suasana di kampung halamannya di Tawau bagaikan sedang berada di Wuhan, China.

Menurut Lia, dia yang pulang ke kampung halamannya tiga hari lalu itu, berasa agak terkejut melihat suasana yang cukup berbeza jika dibandingkan di Semenanjung.

"Di sini memang zon merah, tapi saya balik terus pulang ke rumah, tak ada keluar-keluar.

"Suasana di sini macam di Wuhan, sunyi betul. Kalau di jalan raya tu boleh ambil OOTD (bergambar) sebab jalan lengang.

"Kalau di Kuala Lumpur, kita masih lagi tengok orang beratur masuk kedai, di sini memang tak ada dah. Keluar hanya bila perlu sahaja," katanya ketika dihubungi Gempak.

Menurut Lia, dia membuat keputusan untuk pulang ke kampung halamannya pada Sabtu lalu selepas bimbang dengan keadaan keluarganya di sana.

"Ramai yang tanya kenapa saya balik sebab sini tengah banyak kes. Sebenarnya, ibu saya pun minta saya balik, jadi itu yang saya pulang ke kampung. Lagipun, saya sendiri dah lama tak balik. Kali terakhir semasa Aidilfitri lalu.

"Kalau ikutkan saya ada penggambaran juga, tapi saya terpaksa tolak. Bagi saya keluarga lebih utama," katanya.

Bye Kuala Lumpur❤️ . #LiaNatalia #Happy #Love #Life #BalikKampung

A post shared by ? ? ? ? ? ? ? ? ? ? (@lia_natalia) on


Menurut Lia lagi, sepanjang berada di Tawau, dia hanya menghabiskan masa dengan keluarga di rumah sahaja.

"Jiran-jiran pun tak nampak keluar rumah. Masing-masing berkurung sahaja. Bahkan, kalau nak beli barang dapur pun, ada yang datang jual sayur naik trak pickup letak di belakang. Jadi, tak perlu ke kedai," katanya.



Menurut Lia lagi, dia mungkin akan pulang ke Semenanjung selepas keadaan kembali reda semula daripada penularan kes Covid-19.

"Buat masa sekarang, biarlah saya berada di samping keluarga. Mungkin akan pulang lepas habis tempoh PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).

"Kalau balik pun saya kena jalani ujian saringan terlebih dulu dan jalani tempoh kuarantin memandangkan saya dari zon merah sekarang," katanya.

Pada masa sama, pelakon Isteri Vs Tunang itu juga berharap agar semua rakyat Malaysia dapat patuh kepada segala arahan yang dikeluarkan dalam memastikan penularan Covid-19 dapat dihentikan.

"Bila tak ada keperluan, duduk sahajalah di rumah. Kalau ada urusan penting di luar pun, ikutlah SOP yang ditetapkan," katanya.

Sabah kini sedang berada dalam tempoh PKPB bermula 13 Oktober hingga 26 Oktober depan.