Pengacara Awal Ashaari akui tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran bagi mengendalikan Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) sebagai hos.

Jelas Awal, walaupun ini bukan kali pertama dirinya mengendalikan anugerah berprestij itu, namun perasaan teruja tetap tidak dapat dibendung.

"Setiap tahun mereka ada variasi pengacara yang akan mengendalikan AJL. Kadang-kadang mengekalkan pengacara tetap program Muzik-Muzik dan ada masa akan bercampur.

"Apabila tahun ini sekali lagi ditawarkan untuk menjadi sebahagian daripada AJL, memang saya tak fikir panjang. Ini adalah program yang memang saya nak buat.

"Saya dapat tawaran ini sebelum tahun 2020, kira-kira dua minggu sebelum berakhirnya 2019.

"Kalau tak salah saya, ini adalah kali ketiga saya berada di pentas AJL. Saya diibaratkan seperti orang mengantuk yang disorongkan bantal," katanya kepada Gempak.

Awal ditemui pada majlis sidang media AJL 34 yang berlangsung di De.Wan 1958 by Chef Wan, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.

Tambah suami kepada aktres Scha Alyahya ini, dia berasa bertuah apabila akan bergandingan bersama pengacara tetap program Muzik-Muzik, Sherry Alhadad dan Haziq Husni.

"Sherry dan Haziq adalah pengacara tetap untuk Muzik-Muzik. Jadi ia memberi kelebihan di mana saya tidak perlu risau sangat tentang teknikaliti program tersebut.

“Saya bertuah apabila dapat bergandingan dengan mereka sebab sudah tentu masing-masing lebih arif.

"Tapi itu tidak bermakna saya boleh mengambil kesempatan. Saya masih perlu 'study' untuk lebih faham.

"Dalam masa yang sama, saya perlu fikir macam mana ingin memeriahkan suasana pada malam tersebut dan menbuatnya bergerak dengan lancar," ujarnya lagi.

Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) yang mempertaruhkan 12 karya mengangkat tema Warna-Warna Suara akan disiarkan secara langsung dari Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 9 Februari.

Tiket yang dijual pada harga serendah RM30 boleh dibeli di www.myticket.asia mulai 9 Januari jam 9 malam.

Para peminat AJL34 boleh dapatkan tiket mengikut aras tempat duduk yang dikehendaki iaitu Arena (RM60), Aras 3 (RM40) atau Aras 4 (RM30).