Mahkamah Keluar Waran Tangkap Terhadap Pelakon Zarina Anjouline
Pelakon Zarina Anjouline dikenakan waran tangkap oleh mahkamah majistret semalam selepas gagal hadir pada perbicaraan kes dadah yang dihadapinya.
Ini berikutan kegagalan Zarina untuk hadir buat kali ketiga tanpa alasan sejak 31 julai yang lalu selepas mahkamah memerintahkannya membela diri terhadap pertuduhan tersebut.
Majistret Mohd Nazri Omran membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap Zarina atau nama sebenarnya nama penuhnya Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, 29.
Menurut Siti Fatimah, pihaknya memohon waran tangkap kerana tindakan tertuduh telah membuang masa dan kos mahkamah.
"Tertuduh sebelum ini sering bertukar peguam bagi mewakilinya dalam kes itu.
"Bagaimanapun, peguam baharu yang sepatutnya mewakili pelakon itu juga tidak kelihatan," kata Siti Fatimah
Sementara itu, penjamin kepada Zarina memberitahu mahkamah bahawa dia gagal menghubungi pelakon itu kerana dia dan Zarina hanya kawan biasa dan kali terakhir berjumpa beberapa bulan lepas selain sukar menghubungi Zarina kerana sering bertukar nombor telefon bimbit.
Semalam, pelakon kacukan Melayu, Iran dan Scotland itu yang terkenal dengan drama bersiri 'Anak Pontianak' sepatutnya memberi keterangannya.
Sementara itu, rakan Zarina, Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, 29, yang didakwa bersama-sama artis itu hadir ke mahkamah.
Zarina dan Mohamad Fakhruzaim didakwa menggunakan dadah jenis Methamphetamine dan air kencing mereka didapati positif dadah jenis tersebut.
Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Narkotik Damansara di sini pada 8.10 malam, 30 Dis 2012 mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM5,000, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 5 November ini untuk sebutan semula kes bagi penjamin memastikan kehadiran Zarina ke mahkamah pada tarikh tersebut.
Olahan semula: khalid rahman
Sumber: astro awani