Mahu Beri Hasil Terbaik Untuk Peminat, Ayda Jebat Enggan Watak Klise

Kamaruddin Razal
September 18, 2018 10:25 MYT
Menghidupkan sesebuah karakter menjadi cabaran besar yang perlu ditempuhi oleh seorang pelakon dalam merealisasikan watak mereka.
Setiap watak yang digalas haruslah diwarnakan dengan baik agar penyampaian dalam lakonan memberi kesan kepada penonton.
Bagi bintang kelahiran Akademi Fantasia musim ke-9, Ayda Jebat, dia enggan menampilkan persembahan sama dalam setiap watak yang dibawakan.
"Kalau boleh saya enggan bawakan watak klise atau serupa. Bukan mahu memilih, tetapi saya mahu memberikan yang terbaik untuk peminat.
"Jika ada yang sama pun, saya akan cuba mencorakkan karakter yang dipertanggungjawankan agar ia kelihatan berbeza berbanding watak-watak yang pernah saya bawakan sebelum ini.
"Saya puas apabila dapat membawakan pelbagai karakter seperti gadis bisu, penghidap kanser dan banyak lagi.
"Saya gembira apabila lakonan saya mendapat perhatian peminat dan perkara terbabit menjadi motivasi untuk saya membawakan watak dengan lebih baik selepas ini," katanya.
Ayda ditemui di majlis tayangan episod kemuncak drama bersiri Cinta Bukan Kristal di Damansara Performing Arts Center, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Baru sahaja selesai memainkan watak perampas bernama Aryana dalam drama bersiri terbabit, Ayda memberikan persepsi berbeza dalam mewarnai karakternya.
"Tak semua perampas itu niatnya jahat. Watak ini bercerita mengenai persepsi berbeza individu yang bergelar orang ketiga dalam sesuatu hubungan.
"Terima kasih kepada semua pihak yang menyokong drama bersiri ini dan menjadikan ia trending saban minggu di laman sosial Twitter," katanya lagi.
Foto: Instagram Ayda
#pelakon #Ayda Jebat #Pelakon