Juara Akademi Fantasia 2016 Amir Masdi tampil dengan taruhan terbarunya berjudul Asmara.

Menjadi single kelima selepas menjuarai program realiti tersebut, Amir akui lagu ini bersifat istimewa di sudut hatinya.

“Secara peribadi, lagu ini amat bermakna buat saya. Berbanding dengan lagu-lagu saya sebelum ini, saya turut memberikan sentuhan peribadi kepada lagu Asmara ini.

“Kali ini saya bukan setakat hadir untuk merakamkan vokal sahaja, tetapi saya turut diberi peluang terlibat dalam proses susunan muzik bersama-sama komposer dan penerbit lagu ini.” Kata Amir menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan.

Mengharapkan reaksi yang positif daripada para pendengar, Amir menyasarkan single terbarunya ini mampu mengukuhkan lagi namanya dalam industri hiburan tanah air.



“Saya berharap lagu ini dapat menaikkan lagi profil saya sebagai seorang penyanyi dan mampu membawa saya ke pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Industri Muzik,” jelasnya lagi.

Naskhah sedih ini merupakan hasil ciptaan komposer terkenal Ikhwan Fatanna, Ayden Ali dan John Jeevasingham. Manakala lirik pula ditulis oleh trio komposer ini bersama penerbit drama Arisz Ab Rahman.

Lebih cemerlang apabila Asmara bakal diangkat sebagai lagu runut bunyi drama Pengantin Lelaki Untuk Cik Gadis lakonan Nafiz Muaz dan Uqasha Senrose.

Drama bersiri 24 episod ini akan mula bersiaran pada 24 Disember ini di slot drama terbaru Drama Vaganza di Astro Ria dan Ria HD (Saluran 104 dan 123).