Jika anda seorang yang mudah ketagih dengan pemainan video, anda mungkin perlu berjaga-jaga.

Ini kerana, seorang remaja di Udon Thani, utara Thailand ditemui tidak bernyawa oleh ayahnya selepas bermain permainan komputer berterusan pada Isnin lepas.

Menerusi laporan Astro Awani, Piyawat Harikun, 17, ditemukan terbaring berhampiran kerusi meja komputer di biliknya dipercayai mati akibat serangan strok.

Beberapa keping gambar yang dipaparkan dalam laporan portal The Mirror menunjukkan meja remaja itu berselerak dengan bekas makanan.

Menurut ayah mangsa, Jaranwit Piyawat, dia cuba memanggil anaknya berulang kali namun tidak mendapat respon.

“Saya sudah cuba memberi amaran mengenai ketagihannya yang melampau dan dia berjanji akan cuba mengurangkannya.

"Malangnya semua sudah terlambat,” kata ayahnya dengan nada sebak.

Diharapkan kejadian ini boleh dijadikan teladan khususnya pada ibu bapa agar mereka lebih serius dalam mengawal ketagihan anak-anak mereka dalam permainan komputer.