Majlis pernikahan personaliti media sosial Tasnim Shah dengan anak kepada ahli politik Datuk Seri Jamal Yunos iaitu Amin Daniel mendapat tumpuan netizen di laman sosial.

Bukan sahaja majlis serba mewah yang menjadi perhatian, malah video yang memperlihatkan Amin ingin bercium mulut dengan Tasnim di hadapan rakan-rakan turut mendapat kritikan.

Tidak mahu melatah dengan kritikan netizen, Tasnim menerusi Instagram meluahkan rasa cinta terhadap suaminya yang dilihat sentiasa disayangi oleh keluarga dan rakan terdekat.

“Hello baby, saya selalu cakap secara peribadi dengan awak tapi kali ini biar saya cakap di sini okie. Terima kasih untuk semuanya, terima kasih pilih saya untuk habiskan seumur awak bersama.

“Terima kasih kerana sentiasa menjadi penyokong saya. Kehidupan penuh kejutan kan. Tujuh tahun lalu, awak hanya kawan dan kita akhirnya bersama dua tahun lalu.

“Awak adalah kawan baik saya dan masih sama. Awak sangat terbaik, macam mana awak sayang keluarga awak, ambil berat fasal kawan-kawan - patutlah mereka sayang sangat awak, hanya orang terdekat yang tahu diri awak sebenar,” luah Tasnim.

Terdahulu, tular video pengantin lelaki ingin mencium isterinya itu di laman sosial sehingga mengundang kecaman netizen yang menganggap kelakuan itu tidak senonoh biarpun sekadar gurauan.

Malah, ada juga yang berasakan Amin sama sekali tidak menghormati harga diri isterinya apabila berperilaku seperti itu di hadapan tetamu yang ingin mengambil gambar mereka.

Dalam pada itu, Tasnim dan suaminya tetap tenang menikmati masa bersama sebagai suami isteri tanpa menghiraukan kata-kata daripada netizen.

“Keadaan sukar sekarang ini, tapi awak tetap kuat. Orang sentiasa boleh kata apa yang mereka nak, mereka boleh berkata dan percaya apa saja walaupun perkara yang mereka katakan itu tidak benar dan tak masuk akal.

“Kita hanya biarkan saja dan seronok habiskan masa bersama. Kita berdua sudah bekerja keras untuk berada di sini hari ini, kita letakkan terlalu banyak usaha, masa, tenaga untuk majlis nikah kita.

“Tapi tunggu, saya lupa yang saya tak perlu beritahu di sini sebab mereka tak perlu tahu pun. Macam yang saya cakap, orang boleh cakap dan buat andaian ikut mereka suka.

“Awak sentiasa beritahu saya untuk sabar, sabar dan sabar. Jadi, okay baby, saya akan. Mari kita fokus pada diri kita saja, banyak perkara menarik yang kita boleh lakukan bersama. Jadi tak perlu buang masa untuk perkara tidak penting,” katanya.

Gempak bagaimanapun cuba mendapatkan komen lanjut daripada Tasnim namun tiada sebarang respon.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.

Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!