Pengacara Tanya Doktor, Dr Say Shazril berkongsi pengalaman bertugas memberikan suntikan vaksin kepada warga emas beberapa hari lalu.

Menurut Dr Say, tidak ramai warga emas Melayu hadir ke lokasi ketika dia menjalankan tugas itu.

Bagaimanapun, doktor popular ini mengatakan perkara itu hanyalah daripada pemerhatiannya sahaja.

"Pusingan kedua inisiatif sukarela pengambilan vaksin Astra Zeneca bermula Ahad baru ini, yang dibuka untuk warga emas berumur 60 tahun keatas itu.

"Jadi apabila saya bertugas di PWTC saya expect kebanyakan warga emas akan datang ambil vaksin, tepat tekaan saya, hampir 90% adalah warga emas.

"Tapi yang membuatkan saya sedikit sedih daripada warga emas yang hadir, hanya 30 hingga 40 peratus adalah Melayu.

"Ini hanyalah semata-mata daripada pemerhatian saya, tapi boleh kira betapa sikitnya penerima vaksin bin dan binti yang saya consult," tulisnya di Instagram.

Dalam pada itu, Dr Say turut terharu dan berlinang air mata mendengar kata-kata warga emas yang hadir itu.

"Bila saya berterima kasih kepada pakcik dan makcik yang datang kerana tampil mengambil vaksin tadi, rata-rata berkata "kawan makcik/pakcik ramai tak nak ambil sebab dengar macam-macam cerita, tapi makcik/pakcik beranikan diri, redha dan tawakal demi nak jumpa anak cucu," berlinang mata kejap dengar kenyataan mereka," tulisnya lagi.

Pada masa yang sama, Dr Say juga menyeru orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan kabar angin, berita palsu dan info yang tidak sahih berkaitan Vaksin COVID-19 di media sosial.

"Cukuplah dengan rumors Whatsapp group/ konspirasi FB dan pilihlah sumber yang sahih, marilah sama-sama kita capai Herd Immunity secepat mungkin supaya dapat kita pulang kepada kehidupan dahulu kala," kongsinya lagi.

Meninjau ruangan komen entri berkenaan, rata-rata netizen bersetuju dengan pendapat Dr Say dan menyedari peranan anak-anak untuk berkongsi ilmu dan meyakinkan ibu bapa mengenai pengambilan vaksin COVID-19.

A post shared by Dr Shazril Shaharuddin (@say_shazril)