Laman Utama
"Mak Saya Doakan Sebelum Saya Ke Lokasi..." - Akhirnya Shiha Zikir Berjaya Ke AJL Dengan Lagu Sendiri
Sinaran 2022 mula memancar untuk penyanyi berbakat, Shiha Zikir apabila lagu nyanyiannya bersama Noki K-Clique berjudul AEWO mara ke pentas Anugerah Juara Lagu Ke-36 (AJL36), seperti yang diumumkan dalam Semi Final Muzik-Muzik (SFMM36) malam tadi.
Menurut Shiha, pada mulanya dia tidak menyangka akan mendapat peluang itu dan sebaik sahaja lagu AEWO diumumkan, perasaannya sebak bercampur baur.
"Sejujurnya, ketika pengumuman 12 lagu ke AJL36, semua orang dah tunggu, saya ada jauh sikit dari mereka sebab saya takut kecewa, cuma saya memang ada di situ untuk sokong kawan-kawan lain.
"Tapi bila diumumkan lagu AEWO mara, sebaknya rasa Tuhan yang tahu, saya terus terkenang orang-orang penting di belakang saya yang banyak berkorban untuk saya.
"Nak buat persembahan untuk semi final inipun, macam-macam team saya dah buat, dengan props, penataan LED dan sebagainya semua kami buat sendiri, ditambah pula dengan jadual kerja saya yang sibuk.
"Nak buat latihan pun tak cukup masa, sempat lakukan dua tiga kali sahaja, rasa sebak itu bercampur baur dengan perasaan gembira, tak percaya pun ada, syukur Alhamdulillah," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Shiha juga gembira kerana lagu AEWO gubahan Ezra Kong itu akhirnya mendapat tempat dalam industri hiburan tempatan selepas memenangi anugerah dari Los Angeles tahun lalu.
"Pada awalnya, saya nak keluar daripada kebiasaan dengan lagu ini, tapi sudah jadi rezeki, dapat pula sentuhan Ezra Kong, bagi saya lagu ini memang ada keunikan tersendiri.
"Apabila orang luar boleh hargai dan beri anugerah untuk lagu ini, saya gembira mewakili komposer, sekarang Alhamdulillah di Malaysia juga akhirnya lagu ini dihargai.
"Saya janji akan lakukan yang terbaik untuk semua aspek di pentas AJL36 nanti, dari segi persembahan memang saya nak lakukan perbezaan," katanya lagi.
Shiha juga tidak lupa menyentuh tentang punca kekuatan untuk terus berkecimpung sebagai anak seni selama ini.
"Kekuatan saya memang ibu saya yang nombor satu, dengan arwah abah saya. Nama saya ditukar kepada Shiha Zikir pun kerana arwah abah lah orang pertama yang betul-betul bagi semangat dan mengajar saya menyanyi sejak umur tujuh tahun lagi. Inilah impian arwah nak tengok saya di pentas, tambahan lagi di pentas AJL.
"Sebelum saya ke lokasi SFMM36 malam tadi, ibu saya cakap dia doakan agar apa yang saya nak selama ini tercapai. Bila dah dapat tu, saya terfikir apa yang mak saya cakap. Dalam industri selama ini, selain jiwa saya memang sukakan muzik, mak saya lah punca rezeki untuk terus cari makan dan jaga dia.
"Mak saya duduk dengan saya sejak mula saya berhijrah ke Kuala Lumpur, lepas SPM saya datang kesini, sejak hari pertama mak saya datang ikut saya. Dia berkorban hingga sanggup berjauhan dengan arwah abah ketika itu demi untuk lihat saya capai impian. Bila dah berbelas tahun dalam industri saya dapat peluang ini, tentunya mak sangat gembira.
"Itulah sumber kekuatan saya selain daripada adik beradik yang lain, Todak Music, Shihanizers dan para peminat yang lain," jelasnya.
Tambah Shiha, semua pihak yang terlibat untuk persembahannya bersama Noki di AJL36 nanti melakukan yang terbaik terutamanya dari segi kreativiti.
"Untuk semua yang terlibat di belakang tabir nanti saya mahu mereka keluarkan kreativiti sebaik mungkin, dari segi prop, LED, baju, jurugaya, solekan dan sebagainya, sama-sama kita nantikan," tuturnya menutup bicara.
Terdahulu, Shiha telah tampil di pentas AJL35 bagi mewakili penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk lagu 7 Nasihat bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta.
Must-Watch Video