Kekayaan Putera William diramal bertambah apabila bakal mewarisi estet diraja seluas 56,655 hektar dengan nilai mencecah £1 bilion (RM5.2 bilion).

Memetik laporan stesen penyiaran CNN, Laporan Forbes menganggarkan pada tahun lalu bahawa kekayaan peribadi mendiang Ratu Elizabeth II yang bernilai £433.7 juta (RM2.26 bilion) adalah terdiri daripada permata, koleksi seni, pelaburan dan dua kediamannya iaitu Istana Balmoral di Scotland dan Rumah Sandringham di Norfolk.

Ratu Elizabeth mewarisi kedua-dua harta itu daripada bapanya, Raja George VI.

Sebahagian besar kekayaan keluarga diraja Britain berjumlah sekurang-kurangnya £18 bilion (RM93.9 bilion) terdiri daripada tanah, harta dan pelaburan kini diwariskan kepada monarki baharu, Raja Charles III dan pewaris-pewarisnya.

Kedudukan sebagai pewaris takhta Britain yang pertama bakal menjadikan Putera Willian sebagai seorang yang lebih kaya apabila mewarisi takhta ayahandanya.

Putera kacak itu juga bakal mewarisi harta pusaka Duchy of Cornwall daripada Raja Charles III.

Baginda memiliki portfolio hartanah yang meluas meliputi 56,655 hektar yang kebanyakannya terletak di barat daya England.

Hartanah yang dicipta oleh Raja Edward III pada tahun 1337 itu bernilai £1 bilion (RM5.2 bilion), demikian menurut pengiraan untuk tahun kewangan yang lalu.

Hasil daripada hartanah itu digunakan untuk membiayai aktiviti awam, swasta dan amal oleh Duke of Cornwall, kata laman webnya.

Gelaran itu kini dipegang oleh Putera William.


Sumber: Kosmo Online
Kredit foto: The Royal UK