14 tahun berada dalam bidang kulinari, Cef Anis Nabilah mengimbas semula perjalanannya hingga berada pada tahap sekarang.

Kata Anis Nabilah atau nama sebenarnya Anis Nabilah Umaruddin, 36, segalanya berbeza melewati tempoh sedekad lalu yang mana kuasa media sosial tidak sehebat kini.

"Semasa saya mula-mula dalam industri ini, memasak di TV iaitu lebih sedekad yang lalu semuanya berbeza. Tiada program realiti memasak, tiada YouTube dan tiada resipi google.

"Saya masih ingat sebagai seorang pelajar, cara untuk belajar mengenai masakan lain atau resipi adalah dengan membaca buku masakan atau menonton rancangan masakan yang terdapat di kaca TV.

"Tapi kini, saya melihat kanak-kanak mencipta kandungan masakan di media sosial. Maksudnya betapa ia sesuatu yang menakjubkan.

"Semasa rancangan pertama saya disiarkan di kaca TV pada tahun 2007, hanya segelintir daripada kami membuat rancangan memasak. Dan saya adalah ‘anak kecil’ berbanding dengan lagenda masakan yang kita ada seperti Chef Wan, Chef Ismail, Chef Florence dan ramai lagi.

"Dulu saya pernah diberitahu, saya terlalu muda untuk mengajar orang memasak. Sukar untuk wanita berjaya dalam industri ini. Tetapi saya tidak mengendahkan komen itu dan teruskan, kerana saya suka mengajar dan berkongsi resipi. Ia adalah minat saya. Saya gembira saya terus ke depan hingga membawa saya ke sini hari ini," katanya.

Menurut Anis Nabilah, dia bangga apabila melihat industri yang diceburinya ini semakin berkembang dan diminati ramai.

"Saya sering ditanya oleh wartawan, apakah pendapat saya mengenai orang yang bukan chef dan membuat kandungan memasak, dan jawapan saya selalu, saya gembira dan bangga melihat betapa besarnya industri ini berkembang jika mahu dibandingkan ketika saya mula-mula berada dalam bidang ini.

"Saya juga gembira saya terus bertahan kerana ia membuka begitu banyak pintu untuk saya. Saya berjaya menjelajah dunia untuk berkongsi resipi saya dan bertemu beberapa idola saya di beberapa acara masakan terbesar di dunia, seperti ‘Worlds 50 Best Restaurant’ dan ‘Invite The World to Dinner’ yang diadakan di Australia.

"Dan itulah kali pertama saya bertemu Heston Blumenthal (salah seorang chef terkemuka dalam gastronomi molekul). Bukan sahaja dapat jumpa dengannya, tapi dapat bersembang, bertukar-tukar pendapat dan pengalaman dengannya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anis Nabilah yang juga selebriti di bawah syarikat pengurusan Universal Music Malaysia dinobatkan Asean's Most Influential Chef pada Asean Food & Travel Awards 2022 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara baru-baru ini.

"Tahniah pada semua atas kerja keras dan usaha untuk mengembangkan industri ini, untuk negara kita, untuk Asean. Ia memerlukan semangat, pengorbanan dan daya tahan untuk berjaya dalam industri ini, terutamanya semasa pandemik, dua tahun lepas.

"Saya hanya boleh membayangkan perjuangan yang dilalui oleh sebahagian daripada mereka, tetapi bukan sahaja terselamat daripada wabak Covid-19, malah mereka juga berusaha. Saya ‘salute’ mereka.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan dan pasukan saya, Universal Music Malaysia, Celebrity 360, kerana sentiasa mempercayai saya dan menyokong semua matlamat dan impian saya, tidak kira betapa besarnya ia. Ini untuk anda semua," katanya.

A post shared by Anis Nabilah (@anis_nabilah)


Pada majlis itu, Anugerah disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab; Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Datuk N Subramaniam; Presiden Persatuan Eksekutif Makanan & Minuman Malaysia, Muhammad Hisham Tan Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif RHA Media, Datuk R. Rajendran; Editor Pengurusan RHA Media, Lee Seng Chee dan Pengarah Komunikasi Korporat, ASEAN Food and Travel, Puan Helis Muda.