Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Malam Kemala Irama 2 Sukses! Siti Pasang Hajat Mahu Angkat Ke Pentas Istana Budaya

Amri Hassan
23/09/2019 09:33 MYT
Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menyuarakan hasrat untuk mengangkat persembahan evolusi lagu-lagu irama tradisional daripada Malam Kemala Irama 2 ke pentas berprestij seperti Istana Budaya.

Jelas Siti, dia sendiri berpuas hati dengan kualiti persembahan yang dipertontonkan oleh produksi Aswara pada Malam Kemala Irama 2 di Panggung Eksperimen Aswara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan sebab persembahan ini bukan biasa-biasa. Ia ada standard artis profesional dan patut diraikan di peringkat lebih tinggi.

"Saya harap persembahan sebegini dibawa ke panggung lebih besar lagi seperti Istana Budaya.

"Ini satu evolusi muzik tradisional yang patut kita banggakan! Jangan ingat muzik tradisional tak mampu buat persembahan luar biasa.

"Nanti kita akan usulkan untuk dipentaskan di tempat lebih besar," kata Siti.

Lagu-lagu tradisional nyanyian Siti diangkat untuk dipersembahkan dalam Malam Kemala Irama siri kedua tahun ini.

Hati Kama, Ya Maulai, Joget Kasih Tak Sudah, Badarsila, Kurik Kundi, Mahligai Permata dan Nirmala antara lagu irama tradisional Siti yang dipersembahkan dalam cara tersendiri.

Malah, beberapa lagu pop dan balada Siti seperti Aku Cinta Padamu, Purnama Merindu, Di Batas Masa, Jelmakan Ayu dan Di Kayangan Kita diberikan nafas baharu.

Siti dalam pada itu turut merakamkan ucapan terima kasih atas apresiasi Malam Kemala Irama 2 terhadap lagu-lagunya.

"Kualiti yang ditampilkan wajar dipertontonkan di khalayak ramai dan terima kasih atas apresiasi diri saya.

"Saya juga berterima kasih pada pencipta dan penulis lirik lagu-lagu tersebut. Adanya saya di sini kerana semua orang," tambahnya.

Malam Kemala Irama 2 dijayakan oleh graduan Aswara dan penyanyi undangan Asmidar, Umai dan anak lelaki Datuk Jamal Abdillah, Osama Yamani.

Tahun lalu, Malam Kemala Irama mengangkat lagu-lagu popular nyanyian ratu pop etnik Noraniza Idris.

12:01 PM I had a chance to go to ASWARA again and watched some great performances from the students and also the alumni. The show was so amazing. Singers, dancers and musicians was fantastic. What a great show and talent. Thanks to my brother Abg @shyizham for inviting me. Hope there will be more show that I could attend. @aswara.official

A post shared by Joey (@ohsopejoe_) on


Foto: @ohsopjoe
#Datuk Seri siti Nurhaliza #ASWARA #Malam Kemala Irama 2