Hiburan

"Malulah Kalau Umur 25 Tahun Tapi Rambut Tengah Dah Hilang" - PU Riz Tanam 2,000 Helai Rambut

gempak
Amri Hassan
03/06/2020
03:49 MYT
Sponsor Banner
"Malulah Kalau Umur 25 Tahun Tapi Rambut Tengah Dah Hilang" - PU Riz Tanam 2,000 Helai Rambut
Pendakwah bebas dan pelakon PU Riz mengakui ada menjalani rawatan menanam rambut sekitar Oktober tahun lepas.
Kata PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail, 25, keputusannya untuk menanam rambut kerana berdepan masalah keguguran rambut yang serius pada bahagian hadapan dan tengah kepala.
"Malulah kalau umur 25 tahun rambut tengah dah hilang. Jadi kita ambil kelebihan teknologi yang ada kita untuk memperbaiki dan memelihara kesucian yang Allah berikan kepada kita.
"Boleh untuk tanam rambut, tak berdosa tapi jangan ubah apa yang Allah beri kepada kita," katanya kepada Gempak.
Sebanyak 2,000 helai rambut pada bahagian belakang kepalanya diambil dan ditanam semula di bahagian hadapan.
Melalui prosedur itu, PU Riz akui sakit memandangkan dia mengelak daripada mengambil ubat bius yang banyak.
"Setiap orang pengalaman berbeza-beza. Bagi saya rawatan ini sakit terutama ketika proses mencabut rambut asal di bahagian belakang kepala.
"Saya pula cuba elakkan ubat bius terlalu banyak sebab tidak mahu muka bengkak selepas rawatan itu.
"Alhamdulillah, hasil yang diperolehi pun sangat memuaskan hati," tambahnya.
Mengulas mengenai hukum menanam rambut yang masih diragukan hingga kini, PU Riz menjelaskan rawatan tersebut tidak haram.
"Bukannya haram tanam rambut sebaliknya menyambung rambut itu yang haram.
"Kalau kita berjumpa orang lebih pakar dan kita ikut nasihatnya, tiada masalah.
"Cuma kalau kita menambah perkara tak perlu itu ada kemusykilan dan sepatutnya tak bolehlah.
"Kalau ada masalah rambut berjumpalah pakar sebab pastinya kita mahukan rambut yang sihat dan segar," katanya.
Dalam perkembangan lain, PU Riz teruja menantikan maklum balas penonton filem Ada Apa Dengan Dosa yang akan ditayangkan mulai esok (4 Jun 2020) di saluran Astro First.
Ada Apa Dengan Dosa mengangkat kisah seorang ustaz dihantui dosa silam apabila pernah berzina hingga melahirkan anak luar nikah.
Lebih mengejutkan, anak perempuannya itu membesar sebagai seorang yang berfikiran bebas dan tidak mempercayai kewujudan Tuhan hingga mahu membunuh diri.
Filem terbitan Pencil Pictures & Records itu dibintangi pelakon, Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, PU Riz, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.
Ada Apa Dengan Dosa akan ditayangkan di saluran Astro First bermula 4 Jun ini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live