Baru-baru ini emas menjadi fenomena terutama bagi kaum wanita yang sudah semestinya sukakan perhiasan dan dalam masa yang sama mula merasakan ia merupakan pelaburan terbaik di masa kecemasan atau susah kelak.

Apa yang mengejutkan Mami Piqah di kala pandemik yang melanda dan situasi kewangan yang agak tidak stabil ni, ramai pula berpusu-pusu ke kedai emas!

Anehnya, emas bukan lah barang atau perhiasan yang murah malah nilainya tinggi tetapi orang sanggup beratur panjang di hadapan kedai emas sehingga berjam-jam lamanya.

Sana sini orang perkatakan tentang emas lebih-lebih lagi kini harganya sudah sedikit menyusut dan kaum wanita pula ambil peluang untuk mendapatkan seutas dua gelang sekurang-kurangnya buat penyeri diri.

Namun, apa yang Mami Piqah nak sampaikan di sini…berpada-pada lah dalam memiliki barang kemas ini. Paling penting fikir dulu apa keutamaan dalam masa terdekat.

Terbaharu, Mami Piqah terdengar mengenai kisah seorang isteri yang sampai bergaduh dengan suami gara-gara emas. Apa dah jadi?

Dengarnya kerana suami tak mahu belikan emas, isteri pula tarik muka masam dan rumah tangga jadi berantakan.

Semuanya gara-gara si isteri suka meminta-minta dan menggunakan alasan ‘emas itu simpanan’. Ni Mami Piqah nak tanya, untuk simpanan atau tak boleh tidur malam fikirkan gelang daun ketum?

Mami Piqah bukan lah nak masuk campur urusan suami isteri ni, tapi seeolok-eloknya si isteri perlu lah memahami kewangan suami dan dahulukan keperluan serta perbelanjaan penting dalam keluarga.

Kalau betul emas itu simpanan, sepatutnya wang yang digunakan juga adalah hasil wang lebihan atau simpanan. Bukan lah sampai perlu mengikat perut anak dan keluarga semata-mata nak beli emas.

Masalah suami isteri ni satu, yang keduanya Mami Piqah perasan juga kepada masyarakat yang memandang lekeh pada wanita yang tidak memiliki barang kemas.

Tak semestinya mereka tidak memiliki barang kemas ni kerana mereka tak mampu. Yelah, tak semua orang sukakan barang kemas dan siapa tahu mereka ada cara lain menyimpan emas iaitu dengan membeli jongkong atau bar emas?

Lagi satu Mami Piqah nak beritahu minat orang berbeza-beza, mungkin mereka yang tidak menyimpan emas ni lebih suka akan mengumpul harta seperti hartanah atau simpanan saham? Semua itu sukar untuk kita lihat di mata kasar kan?

Apapapun pun setiap orang mempunyai minat yang berbeza tapi yang tak minat emas juga jangan lah nak kecam orang yang gila emas ni. Kita hormat sahaja lah minat dan pendirian masing-masing selagi tidak menyusahkan orang lain.

Kesimpulannya, Mami Piqah nak kata di sini berpada-padalah dan mengikut kemampuan dalam menguruskan kewangan jangan sampai keluarga berpecah belah hanya kerana emas.

NOTA: #MamiPiqahCorner merupakan pandangan peribadi penulis dalam membincangkan mengenai isu kekeluargaan serta permasalahan yang sering dihadapi ibu bapa dalam membesarkan anak-anak seiring dengan peredaran dan kemodenan semasa