Semalam kecoh dan tular apabila ada pasangan suami isteri yang difahamkan sebagai golongan anti-vaksin mendedahkan aktiviti eksperimen sosial mereka di luar bersama anak-anak.

Pasangan itu bangga kerana dapat menikmati kelonggaran sama seperti individu yang lengkap dos vaskin sedangkan mereka tidak.

Sang ibu memuat naik fotonya bersama suami dan anak-anak sedang menikmati makanan di luar atau dine-in. Mereka mendakwa tiada sebarang pemeriksaan terhadap sijil vaksin dilakukan.

Malah wanita itu juga turut mendedahkan mereka telah pergi bercuti ke Langkawi tanpa halangan.

Mami Piqah terkejut betul bila melihat pengakuan berani ibu itu apatah lagi melihat ia melibatkan anak-anaknya sekali dalam aktiviti eksperimen sosial mereka.

Bukan Mami Piqah sahaja, pendedahan wanita itu mendapat kecaman dari ramai pihak termasuk golongan ibu bapa yang kecewa dengan sikapnya yang dengan selamba membawa anak keluar dan dalam keadaan yang membahayakan.

Namun Mami Piqah boleh menarik nafas sedikit lega apabila mendapat tahu pasangan itu dilaporkan telah ditahan oleh pihak berkuasa iaitu Polis Daerah Klang Selatan selepas menerima aduan dari orang ramai.

Pihak polis mendakwa wanita itu telah mendatangkan ketakutan dan kegentaran pada pihak awam.

Mesti lah takut! Jika dia rasa dirinya hanya membahayakan keluarganya sahaja bagaimana pula dengan orang sekeliling yang berada di situ?

Bagi Mami Piqah pasangan ini bersikap mementingkan diri sendiri! Jika mereka tidak memikirkan keselamatan orang lain sekalipun, bagaimana pula dengan anak-anak mereka?

Apalah nasib anak-anak mereka…Tanggungjawab ibu bapa adalah melindungi keselamatan anak-anak tapi mereka sendiri tidak melindungi diri mereka.

Mami Piqah tak kisah sama ada mereka mahu ambil vaksin atau tidak kerana itu adalah hak masing-masing tapi menjaga nyawa orang awam adalah tanggungjawab bersama.

Jika mereka tetap dengan pendirian tidak mahu mengambil vaksin sepatutnya mereka menjaga diri mereka untuk kekal berada di rumah dan patuhilah arahan kerajaan.

Mami Piqah harap golongan anti vaksin di luar sana janganlah bersikap acuh tak acuh dalam hal ini. Nyawa dan keselamatan keluarga dan orang sekeliling sepatutnya tak perlu diabaikan.