Ibu hamil merupakan antara golongan yang paling berisiko di kala pandemik serta tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh atau ‘total lockdown’ ini.

Meskipun ramai pakar perbidanan yang tidak menggalakkan pasangan yang mahu menimang cahaya mata pada masa sekarang dan mungkin perlu menangguhkan dahulu rancangan tersebut, namun rezeki siapa yang boleh menolak bukan?

Mami Piqah juga bersedih apabila beberapa hari ni mendengar banyak berita kematian ibu hamil yang dijangkiti Covid-19.

Hati ini rasa sayu dan sedih bila mendengar kisah ibu hamil yang dijangkiti wabak ini. Lebih menyedihkan ada juga ibu dan anak yang dikandung tidak dapat diselamatkan.

Terbaharu Mami Piqah ada terbaca satu kisah seorang ibu yang hamil anak ketiga… Ibu dan bapanya memang teruja untuk menanti zuriat ketiga mereka memandangkan jarak umur anak kedua agak jauh.

Namun selepas ibu itu dijangkiti Covid-19, pihak hospital cuba hendak menyelamatkan anaknya dengan mengeluarkan bayi memlalyi proses pembedahan ketika dia sedang ditidurkan.

Apa yang menyedihkan ibunya tidak dapat menatap wajah bayinya kerana disahkan meninggal dunia selepas proses pembedahan itu.

Kisah ini betul-betul membuka mata Mami Piqah bahawa tentang bahayanya wabak ini terutama kepada ibu hamil.

Jadi pengajarannya, bukan kepada ibu hamil itu sahaja malah kepada orang yang berada di sekeliling mereka untuk cuba lebih peka dan berhati-hati supaya tidak menjadi punca pembawakan virus itu.

Jika anda masih muda mungkin wabak itu tidak begitu memberi kesan kepada tubuh badan anda tetapi bayangkan jika ia dijangkiti ibu hamil risikonya sangat tinggi.

Kepada ibu hamil di luar sana, jagalah diri anda sayangilah anak dalam kandungan anda, Mami Piqah tahu bukan mudah untuk berkurung selama mungkin di rumah tapi cubalah demi kebaikan.

Mami Piqah mendoakan semua ibu yang hamil di luar sana agar dipermudahkan proses bersalin dan dilindungi dari wabak ini.

NOTA: #MamiPiqahCorner merupakan pandangan peribadi penulis dalam membincangkan mengenai isu kekeluargaan serta permasalahan yang sering dihadapi ibu bapa dalam membesarkan anak-anak seiring dengan peredaran dan kemodenan semasa