Penyanyi rap sensasi, Caprice tampil mengemukakan cadangan untuk Siti Nuramira Abdullah dan kekasih, Alexander Navin Vijayachandran yang memohon dana awam bagi membayar wang jaminan mereka selepas ditahan susulan isu persembahan di Kelab Komedi Crackhouse.

Menerusi laman sosial Instagram, pemilik nama lengkap Ariz Ramli ini meminta tujuh teman lelaki kepada Siti Nuramira atau disapa Amy tampil membayar wang ikat jamin sebanyak RM40,000 tersebut.

Siap membuat kerja kira-kira, Caprice memberitahu, setiap kekasih Amy boleh mengeluarkan wang sebanyak RM5,714 setiap seorang untuk mencapai jumlah keseluruhan wang jaminan.

“Mana pi hang punya tujuh boyfriend? Kalau kita buat matematik SPM, RM40,000 bahagi 7 kepala, satu kepala kena keluar RM5,714. Takkan hang punya boyfriend tak ada RM5,700.

“Mana pergi duit KWSP? Kalau hang punya boyfriend takde RM5,700, lebih baik berniaga dengan Caprice.

“Kalau betul depa semua tak ada duit, saya cadangkan esok jugak hang minta putus,” katanya menerusi hantaran berbentuk video.

A post shared by Tiger of AlQuds (@capricedaddycap)


Rabu lalu, Siti Nuramira, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghasut yang boleh mendorong ketidakharmonian agama semasa membuat persembahan di acara ‘mikrofon terbuka’ di Kelab Komedi Crackhouse dengan hakim Mahkamah Sesyen, Siti Amirah Ghazali membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan kes.

Di samping itu, Alexander, 38, juga mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) CMA 1998 kerana memuat naik bahan tidak sensitif ke platform dalam talian dan berdepan dengan jaminan RM20,000 secara keseluruhan.

Menurut peguam mereka, R Sivaraj, pasukan undang-undang pasangan itu melancarkan kempen dana awam pada Khamis selepas segelintir pihak menyatakan minat mereka untuk menderma.

Dia turut mengesahkan Siti Nuramira ditahan di penjara satelit Beranang serta Alexander di penjara satelit Kuala Kubu Baru dan masing-masing sedang menunggu untuk dipindahkan ke Penjara Wanita Kajang serta Penjara Sungai Buloh.