Pelakon Nora Danish berharap agar bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai akan berkahwin pada tahun hadapan sama tarikh dengan dirinya dan aktres Fasha Sandha.

Menerusi ruangan komen di Instagram (IG), Jejai, Nora berharap agar orang ramai dapat berdoa agar Jejai segera ditemukan jodoh pada tahun depan.

"Mari kita ramai ramai berdoa, agar Jejai berkahwin pula, mungkin tarikh yang sama tahun depan," tulisnya.



Menerusi ruangan komen tersebut, rata-rata mengakui terhibur dengan komen yang dituliskan oleh Nora dan mereka juga mendoakan agar Jejai segera ditemukan jodoh.

Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan Jejai pada 2006 dan berpisah pada 2008.

Selepas itu, Fasha bernikah dengan Jejai pada 2012 dan berpisah pada 2016.

Kini, Nora sudah berkahwin dengan Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan anak, Mohammad Neqayl Nedim yang lahir pada Februari lalu.

Manakala, Fasha Sandha telah memilih tarikh yang sama untuk berkahwin dengan suaminya, Aidil Aziz pada 30 Mac 2019.