Bakat dan kebolehan penyanyi dan guru vokal, Mark Adam dalam bidang muzik memang tidak boleh disangkal.

Terbaru, Mark menghasilkan lagu untuk kanak-kanak buat pertama kali sepanjang kariernya sebagai anak seni.

Lagu berjudul Selamanya Bersama itu dicipta buat seorang penyanyi kanak-kanak yang dikenali sebagai Angel.

Ia merupakan ciptaan penuh Mark Adam dengan hasil kerjasama ibu Angle, Dato' Rosmar Ayu yang memberi ilham.

“Saya anggap lagu ini istimewa kerana pertama kali hasilkan lagu untuk kanak-kanak dan melihat Angel mempunyai vokal yang sangat unik.

“Apabila diminta oleh ibu Angel sendiri untuk hasilkan sebuah lagu, saya banyak mengkaji tentang diri Angel, terutama mengenai perangai dan karakternya,” kata Mark.

Jelasnya, untuk mencipta lagu ini, ia adalah berdasarkan kepada pengalaman bagaimana ibu dan bapa membesarkannya.

“Disebabkan itu saya tidak mengambil masa yang lama untuk menghasilkan lagu dan lirik Selamanya Bersama," katanya lagi.

Untuk makluman, ibu Angel telah menghantarnya mengikuti kelas vokal bersama Mark terlebih dahulu sebelum lagu itu dihasilkan.

“Setelah beberapa lama menghadiri kelas vokal, saya dah Mark Adam berbincang untuk menghasilkan sebuah lagu buat Angel.

“Lagipun ketika itu Mark Adam menyatakan vokal Angel juga semakin baik dan anak saya dilihat sudah bersedia untuk masuk ke studio rakaman,” kata ibu kepada penyanyi berusia 9 tahun itu.

Selamanya Bersama dirakam pada Disember 2020, manakala muzik videonya dihasilkan Februari lalu dan sudah tersedia untuk tontonan di saluran YouTube D'Ayu Music.

Sedikit info mengenai bintang cilik ini, nama penuhnya adalah Angelica Petra Battle dan dilahirkan pada 24 Mac 2012.

Angel pernah menceburi bidang lakonan dan muncul dalam sebuah filem Indonesia berjudul Perjalanan Pertama serta dua filem Malaysia, Daddyku Gangster dan Harum Malam.

Diafahamkan, semua filem tersebut masih menunggu waktu tayangan yang sesuai.

Angel belajar di Suara Academy milik Mark Adam dan berada di bawah bimbingan Cikgu Mimi.