The Walt Disney Company telah mengumumkan barisan filem-filem dan siri yang paling dinantikan sepanjang tahun 2023 pada acara Disney Content Showcase yang diadakan di Marina Bay Sands, Singapura baru-baru ini.

Menerusi jenama Marvel Studios, pemuja adiwira Marvel Cinematic Universe (MCU) bakal disajikan dengan filem Ant-Man And The Wasp: Quantumania, yang menampilkan Ant-Man and the Wasp meneroka Alam Kuantum, berinteraksi dengan makhluk baharu yang pelik dan memulakan pengembaraan yang mendorong mereka melakukan hal-hal di luar jangkaan.

Selain itu, Captain Marvel lakonan Brie Larson turut membuat kemunculan semula menerusi The Marvels, yang turut menampilkan watak-watak penting seperti Ms. Marvel (Iman Vellani), Monica Rambeau (Teyonah Parris). Selain itu, pelakon popular Korea, Park Seo Joon bakal berkongsi layar lebar The Marvels dengan pelakon-pelakon sedia ada.

Guardians Of The Galaxy Vol. 3 juga bakal menemui penonton di pawagam, sementara siri Secret Invasion dan Loki Musim Kedua pula boleh distrim kelak di platfoirm Disney+ Hotstar.

Bagi penggemar filem-filem animasi pula, jangan lepaskan peluang untuk menonton filem dari Walt Disney Animation Studios iaitu Wish dan Iwaju, sementara Pixar pula mempersembahkan Elemental, Win Or Lose, Elio dan Inside Out 2.

Dalam masa yang sama, Walt Disney Pictures bakal mencuit memori kanak-kanak penonton menerusi filem-filem live-action Haunted Mansion, The Little Mermaid, Snow White, Mufasa: The Lion King serta Peter Pan & Wendy.

Lucasfilm pula menjanjikan barisan naskhah menarik seperti The Mandalorian Season Three, Ahsoka, Star Wars: The Bad Batch Season Two, Star Wars Visions Volume Two, The Acolyte dan Indiana Jones 5.

Pada acara sama, Gempak turut berpeluang menonton sedutan filem Avatar: The Way Of Water secara 3D.

Diarah oleh James Cameron dan diterbitkan oleh James Cameron dan Jon Landau, Avatar: The Way Of Water yang dibintangi oleh Zoe Saldana, Sam Worthington, Sigourney Weaver, Stephen Lang, Cliff Curtis, Joel David Moore, CCH Pounder, Edie Falco, Jemaine Clement, dan Kate Winslet itu bakal menemui penonton di pawagam pada 16 Disember ini.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!