Menerusi drama bersiri I-Tanggang, kita dapat melihat betapa kejamnya perlakuan Erma yang sanggup mendera anaknya mental dan fizikal demi kepuasan diri.

Jika melihat pada tingkah lakunya yang kejam terhadap Khay dan perangainya seharian, Erma boleh dikategorikan sebagai seorang penghidap masalah Munchausen Syndrome by Proxy (MSBP).

Perlakuan Erma yang dianggap tidak berhati perut itu menyebabkan anaknya menjadi tertekan dan seterusnya menyebabkan insiden yang memakan diri - Erma terlibat dalam cubaan membunuh oleh anak dan rakan-rakan anaknya (Esra dan Syafiq) menerusi episod terbaharu I-Tanggang baru-baru ini.

Ramai yang bertanya, kenapa seorang ibu boleh bertindak sedemikian rupa? Ada beberapa faktor yang berkait rapat dengan pembentukan sindrom ini.

Si ibu mungkin berasa kehidupannya bercelaru dan tidak terkawal dan dia juga sering mempunyai harga diri yang rendah dan tidak mampu mengatasi tekanan dengan baik.

Pensyarah Kanan dan Pakar Psikiatri Jabatan Perubatan Psikologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Aida Syarinaz Ahmad Adlan berkata, ada beberapa ciri yang dapat dilihat jika seseorang itu memiliki masalah MSBP.

“Selalunya, mereka yang mempunyai MSBP mempunyai ciri-ciri seperti pengalaman dalam bidang perubatan, penyakit anak selalunya kabur dan simptom-simptom yang dikatakan ada dalam penyakit anaknya kadangkala tidak berpadanan dan tidak konsisten dengan manifestasi sebenar penyakit yang dikatakan itu serta sering berada di sisi anak, jarang meninggalkan anak bersendirian.

“Apabila berjumpa doktor, si ibu sering memberikan sejarah perubatan anak dengan terperinci selain memberikan gambaran beliau sanggup mengorbankan segala-galanya demi kepentingan anak

“Dalam masa sama, si ibu juga dahagakan perhatian dan simpati, perlu berasa situasi dirinya terkawal dan tidak nampak yang kelakuannya ini membahayakan anaknya dan ia adalah sejenis penderaan,” ujarnya

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.

​Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofea, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofia Jane dan Andy Teh drama I-Tanggang disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!