Produser drama, Siti Rosmizah memberitahu ada syarikat penerbitan yang masih melibatkan pelakon kanak-kanak bagi tujuan penggambaran sungguhpun pembabitan aktor cilik adalah tidak dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas).

Buat masa ini, Rosmizah berkata, syarikat penerbitannya, SROne Sdn. Bhd. masih mengikut peraturan yang telah dikeluarkan oleh Finas. Cuma, dia memohon agar pihak kerajaan dapat melonggarkan SOP supaya watak kanak-kanak dapat kembali dimainkan di layar kaca menerusi drama-drama akan datang.

"Dalam keadaan sekarang, saya tahu ada syarikat produksi yang masih melibatkan pelakon kanak-kanak bagi penggambaran drama mereka. Hal ini dilihat melanggar SOP yang telah ditetapkan oleh Finas.

“Sungguhpun ada yang berbuat demikian, kami masih lagi mengikut SOP yang telah ditetapkan. Cuma, saya berharap agar SOP tersebut dapat diringan atau dilonggarkan dan pelakon kanak-kanak dapat kembali berlakon seperti sedia kala,” katanya kepada Gempak ketika sesi sidang media maya drama Cukup Derita Itu 2 semalam.

Namun, tambah Rosmizah, persoalannya sekarang adakah Finas akan membenarkan pelakon kanak-kanak untuk kembali ke set penggambaran walaupun ibu dan bapa kepada pelakon-pelakon cilik ini telah bersetuju memberi lampu hijau terhadap proses pemvaksinan seperti yang disarankan oleh pihak kerajaan.

“Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sudah mengumumkan bahawa kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun boleh menerima suntikan vaksin dan perlu mendapat kebenaran ibu bapa masing-masing.

“Jadi, sekiranya ibu bapa kepada pelakon kanak-kanak ini bersetuju jika anak-anak mereka menerima vaksin, adakah pihak Finas akan benarkan kanak-kanak ini berlakon?.

"Saya bimbang kalau mereka sudah mendapatkan vaksin, tetapi mereka masih tidak boleh berlakon," katanya lagi.

Tambah Rosmizah, sebagai produser, dia berasa sedikit terkilan apabila skrip dan jalan cerita drama terbitannya, Cukup Derita Itu terpaksa dirombak untuk menyesuaikan peraturan tanpa pelakon kanak-kanak yang telah dikeluarkan oleh Finas.

"Saya agak terkilan kerana terpaksa merombak semula skrip yang telah ditulis. Menerusi jalan cerita yang telah digarap, watak Ellani (lakonan Ruhainies) perlu bersedih dan rasa sedih itu dicurahkan dengan anaknya.

"Namun, ia tidak dapat direalisasikan dan kami terpaksa bermain dengan prop seperti katil bayi untuk menarik perasaan. Bagi saya, emosi pelakon sukar untuk dikeluarkan.

"Justeru, saya berharap agar perkara ini dapat dipertimbangkan semula kerana awal tahun depan saya bakal memulakan penggambaran drama 7 Hari Mencintaiku 3. Jadi, bagaimana watak kanak-kanak akan dimasukkan jika peraturan ini masih kekal,” tutupnya.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!