HIBURAN
“Masih Ada Yang Hanya Lihat Saya Sebagai ‘Budak AF'” - Amylea Kecewa Kerjaya Hampir Dua Dekad Dipandang Sepi
Penyanyi dan komposer, Amylea Azizan, meluahkan rasa kecewa apabila dirinya masih dikaitkan hanya sebagai bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), meskipun sudah hampir dua dekad bergiat aktif dalam bidang seni.
Menurut Amylea, tanggapan sebilangan pihak seolah-olah menafikan pencapaiannya sepanjang kerjaya walaupun telah menghasilkan lagu untuk ramai artis dan pernah melancarkan karya sendiri.
“Saya rasa kecewa, saya aktif menulis lagu untuk artis lain dan pernah lancarkan lagu sendiri. Tetapi soalan begitu seakan-akan menidakkan usaha saya selama ini.
“Bertahun-tahun saya membina katalog dan profil diri yang macam-macam boleh diceritakan, namun masih ada yang hanya melihat saya sebagai ‘budak AF’,” katanya kepada Gempak.
Amylea berkata demikian ketika ditemui di majlis Raya bersama Studio Village, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Amylea berkata, layanan tersebut jarang diterima rakan-rakan artisnya yang lain seperti Stacy, Akim dan Hazama, walaupun mereka dari program yang sama.
Tambah pelantun lagu Kendati itu lagi, persepsi sebegitu bukan sahaja menyentuh perasaannya, malah membuatkan seolah-olah segala usaha dan sumbangannya dalam industri hiburan dipandang sepi.
“Saya tahu saya bukan artis viral atau popular, but I have been doing the best I can dalam menjayakan karya yang saya cipta.
“Saya bukan mahu dipuja atau diberi perhatian lebih, cukup sekadar diiktiraf atas usaha dan perjalanan seni saya selepas AF.
“Bila orang asyik tanya tentang masa lalu, saya rasa macam pencapaian sepanjang 20 tahun ini tidak bermakna,” ujarnya.
Amylea merupakan salah seorang peserta AF3 yang berjaya mara ke peringkat akhir dan memperoleh tempat ketiga dalam program realiti popular tersebut.
Must-Watch Video