Penyanyi Khai Bahar berpendapat setiap individu yang terlibat dengan acara atau program hiburan mempunyai peranan sendiri.

Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin, 26, menyatakan apa yang penting adalah dengan menjaga diri sendiri.

"Masing-masing ada peranan sendiri. Saya faham penonton akan nampak artis saja di kaca televisyen tetapi sebenarnya di belakang tabir tu ada orang lain.

"Setiap orang ada kerja. Apapun, kita jaga diri kita. Itu sahaja," katanya ketika dihubungi Gempak.

Keputusan stesen televisyen meneruskan program hiburan ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak disetujui oleh segelintir netizen.

Ada yang berpendapat program itu tidak berfaedah malah berkemungkinan akan mewujudkan kluster baharu.

Tegas pelantun lagu Luluh ini, paling utama untuk mencegah wabak merbahaya itu adalah dengan mematuhi Tatacara Operasi Standard (SOP).

"Daripada pengalaman saya sendiri menghadiri program hiburan di kala negara dilanda Covid-19 apa yang penting adalah kita mematuhi SOP.

"Tempat yang diadakan itu juga dijaga dengan ketat malah tidak ada penonton yang hadir," katanya lagi.

Khai tercalon dua kategori iaitu Penyanyi MeleTOP dan Group/Duo MeleTOP untuk Anugerah MeleTOP Era 2020.

BACA: AME2020: Khai Bahar Tak Letak Harapan Untuk Menang

AME 2020 bakal berlangsung 20 Disember ini dan akan disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) secara eksklusif di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Bagi rakaman acara Karpet Merah AME2020 yang dibawakan oleh Astro GO pula akan disiarkan jam 8.30 malam pada hari yang sama sebelum siaran malam kemuncak.

Istimewa untuk pelanggan Astro yang memiliki dekoder ‘Ultra Box’, AME 2020 turut didatangkan dengan format kualiti 4K UHD menerusi saluran khas 780.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, AME 2020 turut boleh distrim menerusi perkhidmatan Astro Go dan On Demand.