Baru-baru ini Menteri Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menjadi mangsa kecaman warganet selepas didakwa berlakon membersihkan simen di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) menggunakan waterjet.

Rina turut menjadi mangsa ‘troll’ warganet termasuk gurauan melampau dan tidak bertanggungjawab seperti mengubah kandungan profil Rina menggunakan perkataan lucah di laman ensiklopedia Wikipedia.

Foto profil Rina kemuadiannya menjadi tular di laman sosial Twitter dan ramai warga maya yang tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

Rata-rata mereka menganggap perbuatan tersebut sebagai biadab, termasuklah suami kepada aktres Nora Danish iaitu Nedim Nazri Aziz.

Nedim turut menempelak sikap segelintir netizen yang tergamak menyunting laman Wikipedia menteri berkenaan dengan perkataan tidak senonoh.


Selain Nedim, ada seorang pengguna Twitter juga menyifatkan perbuatan tersebut sebagai gangguan seksual dan minta ia dihentikan.

Dalam pada itu Gempak sempat meninjau ke laman ensiklopedia Wikipedia Rina dan mendapati bahagian profil yang disunting dengan ayat lucah sebelum ini telah pun dibetulkan.

Kali terakhir laman tersebut disunting ialah pada 2.04 minit pagi, semalam (28 Disember).