Penyanyi dan juara Ceria Popstars musim kedua, Masya Masyitah kini tampil dengan single terbaru berjudul Hapus.

Single tersebut telah dicipta oleh komposer Amy Bong dengan hasil kerjasama bersama Zimi.

Menurut Masya, meskipun negara masih dalam fasa pemulihan wabak COVID-19, namun perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang dalam industri muzik tanah air.

“Alhamdulillah, ketika negara masih lagi berada dalam fasa pemulihan wabak COVID-19, saya diberikan kesempatan untuk tampil dengan single terbaru, sudah lama rasanya saya tidak menghasilkan lagu baru, jadi, ini merupakan permulaan yang baik bagi tahun 2020,” katanya.

Bercerita mengenai Hapus, Masya mengatakan lagu itu mengisahkan tentang seorang lelaki yang berlaku curang di depan mata kekasihnya sendiri.

“Ia mengisahkan tentang percintaan dua insan di mana hubungan yang termeterai sangat indah dan bahagia sehinggalah pada suatu hari, lelaki yang dicintainya itu didapati telah curang dengan wanita lain di depan matanya sendiri.

"Sesuatu yang amat perit untuk dilalui, sejak itu dia mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan tersebut dan cuba menghapuskan segala memori manis mereka bersama.” katanya lagi.

Terdahulu, Masya telah tampil dengan lagu berjudul Halimunan di mana ia telah mendapat jumlah tontonan menghampiri empat juta di YouTube.

Dalam pada itu, Masya juga berharap agar taruhan terbarunya itu diterima dan disukai oleh para peminat.

"Saya berharap agar lagu ini diterima baik dan disukai ramai kerana jalan ceritanya yang sangat menyentuh hati, ia juga mampu mengubat kerinduan peminat yang sudah lama menantikan buah tangan terbaharu daripada saya," katanya.

‘Hapus’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Manakala video lirik dan muzik lagu ‘Hapus’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.