"Mata Bengkak, Nafas Pun Jadi Pendek" - Nazim Kongsi Detik Cemas Gara-Gara Alergi Ubat

ZULHILMI JALIL
November 22, 2019 00:25 MYT
Pelakon Nazim Othman mengalami masalah mata bengkak dan kesukaran untuk bernafas gara-gara alergi terhadap ubat yang diambilnya bagi meredakan migrain.
Menurut Nazim, 35, dia berdepan situasi tersebut ketika sedang menjalani penggambaran drama Suri Katriana.
"Ini kali pertama saya kena alergi kepada ubat sepanjang hidup di dunia yang penuh pancaroba ni. Selain mata bengkak, nafas pun jadi pendek.
"Alergi tak boleh dibuat main-main ya. Ada tahap alergi yang boleh mengancam nyawa," tulisnya di Instagram.
Menurut Nazim lagi, dia kemudian dibantu pelakon Eleena Sui yang berada di lokasi penggambaran untuk mendapatkan rawatan lanjut di klinik berdekatan.
"Memandangkan dia pernah kena tahap elergi kepada ubat yang parah, jadi dia lah yang paling prihatin sekali apabila tahu saya kena alergi di lokasi penggambaran tadi.
"Sampai bawak saya terus pergi klinik sebab dia takut kalau saya pengsan (seperti yang pernah terjadi kepadanya). Terima kasih babe! Jasamu ku kenang," katanya.
Perkongsian Nazim itu kemudian mendapat pelbagai respons dalam kalangan pengikut yang mendoakan agar dirinya cepat sembuh.
Drama Suri Katriana itu kini sedang ditayangkan di saluran Astro Prima yang turut menampilkan aktres Ummi Nazeera dan Ernie Zakri.
#pelakon #Nazim Othman #Pelakon