Laman Utama

Mati Terbakar, Mati Syahid? Ini Hadis Berkenaannya Serta Cara Mandi Mayat Kebakaran

gempak
Syafiqah Jalal
18/08/2023
05:42 MYT
Sponsor Banner
Mati Terbakar, Mati Syahid? Ini Hadis Berkenaannya Serta Cara Mandi Mayat Kebakaran
Insiden pesawat terhempas sehingga melibatkan 10 orang nyawa terkorban dalam kebakaran di Elmina, Shah Alam petang semalam telah menyentuh hati ramai.
Lebih menyayat hati bukan sahaja mengenangkan mangsa di dalam pesawat yang terhempas malah lebih pilu pengunggang motosikal yang merupakan seorang penghantar makanan terlibat dalam insiden berkenaan sehinggakan mayatnya dilihat terbakar di tempat kejadian.
Namun sejauh mana sebagai seorang Islam, kita tahu mengenai hukum serta cara menguruskan mayat yang mati dalam kebakaran. Sudah tentu ia sangat berbeza daripada menguruskan mayat yang sempurna.
Malah ramai juga yang mengaitkan kematian mereka yang terlibat dalam kebakaran itu sebagai mati syahid.
Justeru, Gempak merujuk laman web Mufti Wilayan Persekutuan yang menjelaskan mengenai hadis berkenaan mayat yang mati dalam kebakaran.
Hadis Berkenaan Mati Kebakaran
Daripada Jabir RA bahawa Nabi SAW bersabda:
‎الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِى سَبِيلِ اللَّهِ الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ وَالْغَرِقُ شَهِيدٌ وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ وَصَاحِبُ الْحَرِيقِ شَهِيدٌ وَالَّذِى يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيدٌ وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدٌ
Maksudnya: "Orang-orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan Allah 7 orang, iaitu korban wabak adalah syahid; mati tenggelam (ketika melakukan safar dalam rangka ketaatan) adalah syahid; yang punya luka pada lambung lalu mati, matinya adalah syahid; mati kerana penyakit perut adalah syahid; korban kebakaran adalah syahid; yang mati tertimpa runtuhan adalah syahid; dan seorang wanita yang meninggal ketika melahirkan anak adalah syahid.” (HR. Abu Daud, no. 3111 dan al-Nasaie)
Mengkhususkan Istilah Syahid Kepada Seseorang
Hukum menentukan kesyahidan kepada individu tertentu memiliki dua sudut:
Penyaksian Umum: Yakni kita menentukan kesyahidan berdasarkan keadaan atau sifat yang berlaku berdasarkan sifat atau keadaan yang diiktiraf dalam al-Quran atau Hadis Rasulullah SAW. Contohnya seperti hadis Jabir RA di atas. Maka hukumnya adalah diharuskan bahkan wajib untuk membenarkannya, kerana kita menyaksikannya berdasarkan sifat yang dikhabarkan oleh Rasulullah.
Penyaksian Khusus: Yakni kita mengucapkan seseorang itu syahid pada orang tertentu seperti kita berkata: “Orang itu syahid.” Maka hal ini tidak dibenarkan melainkan individu tersebut disaksikan syahid oleh Rasulullah SAW atau kesepakatan umat Islam.
Oleh sebab itu, Imam al-Bukhari membuat bab khas dalam kitab Sahih al-Bukhari:
“Larangan Mengatakan Seseorang Itu Syahid.” Menurut Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari (9/60): “Larangan itu bermaksud atas jalan yang pasti. Ini kerana kepastian hanyalah boleh diterima berdasarkan kenyataan wahyu. Justeru, dia (Imam al-Bukhari) seolah-olah menyandarkan larangan ini kepada hadis Umar (al-Khattab) yang berkhutbah: “Kalian mengatakan dalam peperangan-peperangan kalian, “si Fulan syahid” dan “si fulan mati syahid” padahal mungkin orang itu (mati kerana) membebani tunggangannya dengan terlalu berat (lalu mati jatuh kenderaan). Oleh itu, jangan kalian berkata sedemikian, sebaliknya katakanlah seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
‎مَنْ مَاتَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ قُتِلَ فَهُوَ شَهِيدٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang mati atau terbunuh di jalan Allah, maka dia (mati) syahid.”
Kata Imam Ibn Hajar: “Hadis ini ialah hadis hasan dan ditakhrijkan oleh Imam Ahmad dan Said bin Mansur dan selain mereka.”
Oleh itu, kita mendoakan dan mengharapkan ganjaran syahid kepada orang yang mati dalam keadaan syahid seperti mana yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW tanpa kita menetapkannya secara qat’i dan kita bersangka baik dengannya.
Kaedah Memandikan Mayat Mangsa Kebakaran
Hukum asal atau hak bagi jenazah adalah wajib dimandikan, samada ianya terbakar ataupun tidak. Sekiranya terdapat keuzuran seperti tahap kebakaran yang amat parah iaitu tahap ketiga (deep burn), tidak diperlukan air kerana dikhuatiri kulit yang melepuh akan tertanggal dan menyukarkan lagi keadaan. Maka, digantikan dengan tayammum. Ini adalah pandangan dalam mazhab Syafie. Dalil bagi para fuqaha’ adalah qias kepada keadaan orang yang hidup. Sekiranya seseorang yang sihat berubah daripada wudhu’ dengan air kepada tayammum disebabkan keuzuran tertentu, begitu juga bolehnya ditayammumkan jenazah kerana keuzuran pada jenazah itu sendiri.
Imam Al-Nawawi rahimahullah apabila menjelaskan hal ini berkata: Apabila terdapatnya keuzuran untuk memandikan mayat disebabkan ketiadaan air, atau jenazah terbakar, yang mana apabila ia dimandikan akan menyebabkan daging terpisah maka ia tidak dimandikan bahkan ditayammum. Dan tayammum ini wajib kerana ia adalah proses penyucian yang tidak berkaitan dengan menghilangkan najis maka wajib untuk beralih kepadanya (tayammum) ketika tidak mampu menggunakan air sama seperti mandi junub. Lihat Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab (5/178).
Dalam Raudhah al-Talibin, Imam al-Nawawi juga mengulas hal yang sama. Menurutnya, “Jikalau seseorang Islam terbakar sekira-kira jika dia dimandikan dia akan hancur lumat, dia tidaklah dimandikan, bahkan cukuplah ditayamumkan." Lihat Raudhah al-Talibin,( 2/108).
Begitu juga Syeikh Nawawi al-Bantani rahimahullah menyebutkan: "Dan mayat yang tidak dapat dimandikannya kerana ketiadaan air atau seumpamanya, seperti jenazah yang terbakar jika dimandikan akan hancur, maka ia ditayammumkan." Rujuk Nihayah aI-Zain (hal. 151)
Maka, dalam isu kebakaran yang berlaku baru-baru di ini Darul Qur’an Ittifaqiah - setelah mendengar penjelasan pihak berwajib - kami berpandangan bahawa jenazah mangsa kebakaran memadai ditayammumkan sahaja.
Hukum Menguburkan Mayat Mangsa Kebakaran Dalam Satu Liang Lahad
Pada asalnya tidak dibolehkan menguburkan mayat dalam satu liang lahad. Diharamkan mengubur dua jenazah dalam satu kubur.
Namun, dikecualikan apabila hal tersebut dilakukan karena dalam keadaan darurat seperti karena banyaknya orang yang meninggal, dan sulit mengubur satu orang pada tiap satu kuburan, maka diperbolehkan mengubur lebih dari satu orang dalam satu kuburan. Alasan pelarangannya adalah bahawa Nabi SAW tidak pernah mengubur lebih dari satu orang dalam satu kuburan kecuali dalam keadaan darurat, seperti yang beliau kerjakan setelah perang uhud, sebagaimana diterangkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Jabir R.Anhuma:
‎أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَجْمَعُ بَيْنَ الرَّجُلَيْنِ مِنْ قَتْلَى أُحُدٍ
Maksudnya: "Bahawasanya Nabi SAW menghimpunkan antara dua orang diantara orang-orang yang terbunuh dalam satu liang pada masa perang Uhud".
Riwayat al-Bukhari (1345)
Begitu juga dalam satu hadis lain, Hisham bin Amir telah mengadu kepada Rasulullah SAW pada ketika Perang Uhud dengan berkata: “Wahai Rasulullah, ia satu kesukaran bagi kami untuk menggali kubur bagi setiap seorang.” Maka sabda Rasulullah SAW:
‎احْفِرُوا وَأَعْمِقُوا وَأَحْسِنُوا وَادْفِنُوا الاِثْنَيْنِ وَالثَّلاَثَةَ فِي قَبْرٍ وَاحِدٍ
Maksudnya:“Galilah kubur, perdalamkannya dan perelokkanlah. Kuburkanlah dua jenazah dan tiga jenazah dalam satu kubur.
Riwayat al-Nasaie (2010)
Kesimpulannya, menguburkan lebih dari satu jenazah dalam satu kuburan hukumnya haram kecuali dengan sebab darurat. Untuk mendapat jawapan yang lebih tuntas, sila rujuk kitab al-Majmu’ oleh Imam al-Nawawi, 5/237; al-Madkhal hlm. 15 oleh Syeikh Ibn al-Haj al-Maliki, Hasyiah al-Syarwani ala Tuhfat al-Muhtaj (2/173) dan lain-lain.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live