Setelah berjaya menawan lebih 20 buah negara di Asia Pasifik, siri animasi Malaysia yang semakin popular, Mechamato The Animated Series kini telah tiba di stesen televisyen popular Portugal.

Bakal memulakan tayangannya pada September menerusi salah satu saluran utama dan terkemuka di Portugal iaitu ‘Sociedade Independente de Comunicação’ atau SIC K, dengan alihan bahasa ke Bahasa Portugis.

Menurut Ketua Penjenamaan dan Pemasaran Monsta, Faiz Zainal Abidin berkata pihaknya melahirkan rasa bangga kerana siri animasi ini telah berjaya menembusi pasaran dunia.

“Kini, Mechamato semakin mendunia. Kami amat teruja kerana dapat menghiburkan kanak-kanak dari seluruh pelusuk dunia dengan menggunakan bahasa ibunda mereka di dalam siri animasi kami.

“Kekuatan siri Mechamato terletak pada jalan penceritaannya yang memfokuskan pada nilai-nilai murni, persahabatan dan budaya.

“Mechamato terkenal dengan persembahannya yang menggunakan teknologi moden di dalam siri tersebut tanpa mengabaikan unsur-unsur tradisi tempatan,” katanya.

Menjadikan kawasan bersejarah sebagai tema, siri Mechamato telah memilih Bandar Hilir, Melaka sebagai sumber inspirasi disamping mempromosikan sejarah dan budaya Malaysia kepada penonton muda di Portugal.

Selain Portugal, siri ini juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran Cartoon Network Asia Pasifik termasuk di Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, Australia dan New Zealand. Mechamato The Animated Series ini turut dialih suara ke bahasa Inggeris, Mandarin, Kantonis, Korea, Jepun, Thai, dan Vietnam.

Penerimaannya di laman sosial terutama Twitter telah meraih sambutan luar biasa apabila pelbagai ciapan dari pelbagai negara turut berkongsi pendapat dan reaksi masing-masing mengenai siri ini dengan menggunakan tanda pagar #Mechamato.

Siri animasi Mechamato kini dapat disaksikan menerusi saluran tempatan Astro Prima setiap Sabtu dan Ahad, jam 7 malam selain di Cartoon Network, HBO GO dan Astro GO.

Turut dinantikan adalah kemunculan Mechamato Movie pada bulan Disember ini di pawagam Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.