Menjadi kumpulan pertama tersingkir di minggu keempat Mega Spontan 2023 pada Jumaat lalu, lima anggota Langkataksuka iaitu Roy Azman, Naim Daniel, Faradhiya, Mark Adam dan Ijat Habart menerima kekalahan mereka.

Menurut Naim yang juga seorang penyanyi, mereka sudah lakukan yang terbaik namun tewas disebabkan kurang dari segi jumlah markah terkumpul sejak minggu pertama.

“Menang atau kalah itu adat bertanding dan juga kami di sini walaupun berbeza kerajaan tetapi semangat kesatuan itu tetap sama la. Penyingkiran ini berdasarkan markah yang dikumpulkan dari minggu pertama.

“Mungkin Langkataksuka ini salah satu kumpulan yang masih ‘underdog’… kejap panas, kejap cool down. Mungkin dari segi pemarkahan itu, kami agak kurang sikit la. Tapi tak apa, it is a good game la,” kata Naim kepada Gempak.

Sebagai ketua kumpulan, pelakon Roy Azman juga berkata mereka sudah mencuba sedaya upaya namun rezeki tidak berpihak kepada Langkataksuka.

“Saya berbangga dengan team Langkataksuka, kami dari awal lagi tercorot tapi kami bangun minggu seterusnya. Minggu ketiga kami terlepas (hukuman) dan ada segmen yang kami menang.

“Jadi, kami dah cuba sedaya upaya kami. Lagipun benda ini terserah kepada rezeki juga,” kata Roy pula.

Mega Spontan 2023 dihoskan oleh Sherry Alhadad manakala Amir Raja Lawak pula bertindak sebagai pengacara bersama untuk menanyakan soalan-soalan panas kepada setiap kumpulan.

Turut disertakan barisan mentor yang digalas Zizan Razak yang mewakili kerajaan Majakelat, Douglas Lim untuk kerajaan Campaktakjauh, Sabri Yunus untuk kerajaan Langkataksuka serta Kamal Adli untuk kerajaan Srivijanda.

Gerak-geri setiap pemain pula akan dinilai oleh Datuk Afdlin Shauki sebagai Game Master.

Afdlin akan menentukan peraturan setiap permainan serta mempunyai kuasa mutlak dalam pemilihan pemenang, hukuman buat kumpulan yang tercorot dan pemberian Immuniti kepada pemain mahu pun kumpulan.

Minggu keempat menyaksikan kerajaan Srivijanda masih berada pada kedudukan pertama manakala Langkataksuka ditempat terakhir menyebabkan mereka memasuki Bilik Mega Merenjis sekaligus menjadi kumpulan pertama tersingkir.


Mega Spontan bersiara secara langsung dari Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia, Serdang setiap Jumaat, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Warna (saluran 107).

Untuk pilihan fleksible, strim rancangan ini melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.

Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama.