Pelakon cantik, Anzalna Nasir mengakui tidak akan meninggalkan dunia lakonan walaupun kini sering sibuk dengan aktiviti melukis.

Menurut Anzalna, dia menganggap melukis itu merupakan hobi yang dilakukan olehnya bagi mengisi masa lapang.

"Melukis ini hanya hobi di masa lapang dan saya masih tetap aktif dengan kerjaya lakonan.

"Saya juga masih selektif sama seperti dulu sebelum menerima apa-apa sebarang tawaran lakonan.

"Ini kerana saya hanya menerima tawaran jika betul-betul sesuai serta naskahnya bagus untuk dilakonkan," katanya kepada Astro Gempak.

Anzalna berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2018 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Anzalna, dia mahu menghasilkan lebih banyak lukisan sepanjang bulan Ramadan untuk mengumpul lebih dana dan disalurkan kepada pihak yang memerlukan.

Bagi platform pemasaran, Anzalna meminta bantuan bapanya untuk menjual lukisan-lukisan terbabit selain dirinya sendiri mempromosikan menerusi media sosial.

Dalam perkembangan lain, Anzalna bakal memulakan penggambaran drama bersiri selepas sambutan Aidilfitri dan bakal ke Paris, Perancis untuk menghadiri acara sebuah produk kecantikan.

Anzalna juga terbabit dengan bazar Yasss Raya di Quill City Mall, Kuala Lumpur dari 18 Mei hingga 12 Jun.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi