Pelakon Raja Ilya menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan segera terhadap pihak yang menjalankan pengamal perubatan estetik tidak bertauliah hingga meragut nyawa pelanggan.

Rayu Ilya, isu mengenai penggunaan bahan terlarang dalam perubatan estetik perlu dipantau dan diharamkan daripada beroperasi.

"Ini satu penipuan terbesar! Mereka menggunakan bahan yang tidak dibenarkan seperti minyak silikon dan banyak algi. Mereka tiada kredibiliti sebagai pengamal perubatan estetik dan ada yang tiada kelayakan untuk melakukan pembedahan.

"Ini masanya untuk memandang serius isu ini kerana boleh memberi kesan sampingan seumur hidup, selain kecederaan dan kematian.

"Ia memalukan. Saya merayu Jawatankuasa Amalan Perubatan Estetik Kebangsaan atau mana-mana jabatan lain yang berkaitan untuk mengambil tindakan dan menghentikan perbuatan ini.

"Saya tak bercakap tentang mereka yang jual produk kecantikan atau memiliki klinik estetik yang berkelayakan kerana saya pun suka dan mereka banyak bantu saya contohnya pakar bedah plastik, Dr. Ali yang saya kenali," ujarnya.



Ilya tampil memberikan reaksi terhadap berita kematian seorang lelaki di Perak selepas menerima rawatan estetik daripada pakar kecantikan tidak bertauliah baru-baru ini.

Dalam berita terbabit, seorang lelaki ditemui maut selepas menerima suntikan membesarkan otot pada bahagian punggung kira-kira pukul 3 petang Isnin lalu.

Dedah Ilya, dia juga pernah sebelum ini menjadi mangsa penipuan doktor estetik palsu hingga akhirnya menanggung kesan sampingan akibat rawatan terbabit.

"Serius geram baca berita macam ni. Banyak orang di luar sana yakin, berani mati buat prosedur rawatan estetik tanpa lesen dan sesetengahnya ambil lesen tak sah.

"Memang b*bi orang macam ni! Bukan pertama kali ada yang meninggal. Saya juga pernah jadi mangsa, terima kesan jangka panjang. Perempuan yang menipu jadi doktor buat prosedur salah dan terus lesap.

"Ghaib entah ke mana! Seorang pelanggan VIP bergelar datin mati di bilik hotel kerana dia. Kejadian itu berlaku pada tahun 2006 hingga 2008," dedahnya.