Seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Datuk Sunny Ung, menyatakan hasrat untuk membayar kompaun RM2,000 yang dikenakan terhadap seorang isteri yang menziarahi suaminya ketika bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Putrajaya pada Hari Raya pertama.

Sunny berkata, dia menganggap kehadiran wanita bersama anak-anak ke lokasi suaminya bertugas itu adalah satu pengorbanan.

"Saya kasihan dan terkilan dengan nasib yang menimpa keluarga berkenaan. Saya akui walaupun sedih, ia tetap menjadi kesalahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Namun, untuk kes berkenaan, budi bicara juga perlu kerana isteri dan anaknya membawa juadah raya dan ingin beraya dengan seorang ayah.

"Wanita itu juga menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan menghantar juadah raya kepada suami yang terpaksa bertugas," katanya seperti laporan Harian Metro..

Tambah Sunny lagi, beliau akan berhubung dengan keluarga berkenaan untuk urusan pembayaran kompaun tersebut.

[[BACA: Ziarah Suami Bertugas Di SJR, Isteri Dikenakan Kompaun RM2,000]]