Biarpun pada awalnya mahu memberi kejutan berupa hadiah kepada Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Shah, namun siapa sangka remaja ini pula yang menerima kejutan.

Kisah tersebut dikongsi oleh satu laman Twitter House of Pahang.

Menerusi posting tersebut, adik Nur Khairunnisa Mohd Yuhasli dikatakan berhasrat untuk menghantar hadiah ke perkarangan Istana Negara sempena hari Ulang Tahun Hari Keputeraan Tengku Hassanal yang ke-25.

Walaubagaimanapun, gadis berkenaan tidak menyangka apabila dia secara tiba-tiba menerima panggilan yang memintanya berada di hadapan Istana Negara untuk menerima kejutan.

“Kejutan yang diterima menjadi satu kenangan manis dalam hidupnya apabila KDYMM Pemangku Raja Pahang berkenan berangkat untuk menemui adik Nur Khairunnisa serta keluarga.

“KDYMM Pemangku Raja Pahang sempat menyantuni adik Nur Khairunnisa serta keluarga dan bertitah supaya belajar rajin-rajin dan jadikan Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagai idola,” kata pengendali akaun tersebut.

Sementara itu menerusi MStar, remaja tersebut meluahkan rasa gembiranya apabila bertemu dengan Tengku Hassanal.

Jelasnya, dia telah lama mengikuti perkembangan dan menjadikan anakanda Yang di-Pertuan Agong itu sebagai idola.

“Tengku Hassanal ni handsome orangnya, tapi bila sendiri jumpa depan-depan, Tengku lagi handsome,” katanya.